HEBAT merupakan singkatan kepada nilai Holistic (holistik), Entrepreneurial (keusahawanan), Balanced (seimbang), Articulate (jelas) dan Thinking (pemikiran) yang menjadi teras dan tumpuan universiti berkenaan dalam melahirkan mahasiswa berkualiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Datuk Dr. Adnan Hussein berkata, universiti itu bersetuju memberi dana kepada mahasiswanya untuk meng­anjurkan program dan aktiviti berdasarkan kriteria-kriteria yang selari dengan nilai HEBAT.

“HEBAT merupakan antara agenda yang amat dititik-beratkan Naib Canselor USM bagi melahirkan mahasiswa berkualiti yang bukan hanya dapat memberi impak pada negara tetapi juga pada peringkat global,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Sulalatus Peradaban Melayu Peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM (PSSCMUSM) di Dewan Budaya, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, turut diadakan perkongsian Wacana Manuskrip Melayu: Kewujudan Hang Tuah di China oleh Dr. Rohaidah Kamaruddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Malam Sa­yembara Puisi Cekak.

Yang turut hadir, Naib Pre­siden 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Prof. Madya Ar. Dr. Abdul Majid Ismail dan Penasihat 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM, Prof. Madya Dr. Abdul Hafiz Abdul Majid.

Adnan berkata, penuntut da­ripada mana-mana persatuan, kelab dan badan beruniform di bawah USM boleh memohon dana khas HEBAT selagi cadangan aktiviti dikemukakan itu difikirkan tepat dengan nilai kelima-lima atribut tersebut.

“Tujuan dana khas ini diwujudkan bagi menggalakkan mahasiswa menyahut agenda ini supaya mereka tidak sahaja menganjurkan sesuatu majlis atau program, tetapi memastikan berimpak tinggi dan berkesan kepada mahasiswa, universiti dan juga negara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berharap program wacana dan malam sayembara yang turut diadakan sempena sambutan tersebut dapat mencerminkan peranan PSSCMUSM dalam meneruskan tradisi memulihara warisan Melayu melalui aktiviti bersifat mengenali sejarah dan budaya Melayu keseluruhannya.