Mempertaruhkan pengisahan bertajuk Kanang Anak Langkau: Pahlawan Bumi Kenyalang, pasukan USM berjaya membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM3,000 sekali gus mewakili negeri ini dalam pertandingan peringkat nasional pada 29 September ini di Selangor.

Bagi pelakon, Zulkifli Che Hussin, dia bersyukur kerana muncul johan dan berbangga terlibat dengan pementasan tersebut.

Menurutnya, pertandingan itu merupakan medium berguna dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat yang mana sejarah kemerdekaan negara adalah perkara yang sangat dekat dengan rakyat.

“Setiap titik darah pejuang kemerdekaan adalah kebahagiaan yang dinikmati oleh generasi kini,” katanya yang juga Pegawai Kebudayaan Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (Bhepa) USM.

Selain Zulkifi, Kanang Anak Langkau: Begitu Lembayung Bersinar turut dilakonkan Faris Nordin (penuntut Sarjana Komunikasi) dan Muhammad Abrar Md. Asraf (penuntut tahun satu Seni).

Skrip yang ditulis dan diarahkan oleh Pegawai Kebudayaan Dewan Budaya, Ahmad Hashim atau nama penanya Seniba­yan itu mengisahkan tentang Kanang Anak Langkau yang menerima pelbagai anugerah di peringkat nasional dan negeri.

Dalam pada itu, USM turut mendapat tempat ketiga de­ngan pengisahan Abdullah Fahim: Sua­ra di Ufuk Nurani.

Juga ditulis dan diarahkan oleh Senibayan, kisah itu menyentuh mengenai tokoh ulama Nusantara kelahiran negeri ini iaitu Syeikh Abdullah Fahim yang setia kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pertandingan itu yang melibatkan lima daerah di negeri ini dianjurkan Jabatan Penerangan negeri.