Peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar yang mengikuti pengajian ijazah tinggi (Sarjana dan Kedoktoran) di USM serta institut pengajian tinggi (IPT) dari dalam dan luar negara.

Sepanjang persidangan itu, mereka mengikuti sesi ceramah, pembentangan kertas kerja dan bengkel termasuk perkongsian kepakaran untuk pembangunan ilmu kesusasteraan peringkat global.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Dr. Narimah Samat berkata, persidangan itu disertai ahli akademik dalam bidang kesusasteraan dari Indonesia, Sri Lanka, Mesir, Hong Kong, Taiwan, India, Singapura, Filipina, Australia termasuk Malaysia.

Beliau berkata, persidangan itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti dan martabat ilmu kesusasteraan menerusi penglibatan di peringkat antarabangsa.

“Kita berkumpul di sini dari pelbagai latar belakang budaya dan ilmu sasteranya, dan ini merupakan titik tolak kepada kemajuan ilmu sastera itu sendiri.

“Apabila ramai berkumpul, maka percambahan idea daripada perbezaan perspektif kesusasteraan setiap negara dapat disatukan di sini sekali gus merungkai ilmu sastera terbaik buat semua negara,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut.

Menurutnya, persidangan yang bertemakan Contemporary Perspectives on/in Postcolonial and Diasporic Literature and Theory itu merupakan platform terbaik kepada semua peserta dan penceramah dalam menyatukan ilmu berkaitan sastera serantau, agama, kemanusiaan, politik, budaya, bangsa, gender dan sebagainya.

Yang turut hadir, Ombudsman USM yang juga pakar sejarah dan kesusasteraan, Prof. Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan tetamu jemputan yang juga penyampai ucaptama persidangan tersebut, Prof. Dr. Bill Ashcroft dari University of New South Wales, Australia.

Persidangan anjuran Persatuan Pelajar Siswazah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM itu turut membariskan tokoh sastera pe­ringkat global antaranya Prof. Dr. Harry Aveling (Monash University, Australia); Prof. Datuk Dr. Ghulam Sarwar Yousof (Universti Malaya) dan Profesor Emeritus Annie Gagiano (University of Stellenbosch, Afrika Selatan).