Menurut wakilnya, Muhammad Farhan Mohamad Amran, program yang dinamakan Explo­ring The Exotic World itu bertujuan untuk mengenali adat serta keunikan budaya masyarakat Orang Asli yang terdapat di negara ini dan merupakan salah satu daripada komponen subjek yang diambil penuntut berkenaan.

“Program ini disertai lapan penuntut termasuk universiti awam luar dan tiga kakitangan USM yang diketuai pensyarah PBP, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed. Program berlangsung selama dua hari satu malam itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai keunikan warisan dan budaya masyarakat Orang Asli Suku Semai.

“Ia juga bertujuan bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat perhatian oleh pihak berkaitan selain dapat memperkenalkan warisan dan budaya mereka kepada pihak luar,” katanya di sini.

Program itu mendapat kerjasama pihak Sustainable Tourism Research Cluster (STRC), Syarikat Pharmaniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah

Kuala Lipis dalam usaha membantu penduduk Orang Asli di sana untuk mendapatkan bekalan dan juga ubat-ubatan bagi keluarga mereka.

Menurutnya, penganjuran pro­gram itu menjadi titik permulaan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Simoi Lama untuk meningkatkan taraf hidup kerana mereka memerlukan perhatian pihak luar bagi membela nasib serta membantu mereka untuk mengembangkan potensi hidup ke arah lebih baik pada masa depan.

Muhammad Farhan berkata, selain itu, ia juga membuka mata peserta tentang kepentingan untuk memastikan kelangsungan pelancongan budaya itu dipelihara dan diteruskan kerana mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan sebagai salah satu produk pelancongan di Malaysia.

Sementara itu, Badaruddin berkata, program itu berjaya dilaksanakan dan memberi impak positif kepada penduduk Orang Asli sendiri.

“Justeru, pelancongan budaya amat penting untuk generasi akan datang supaya warisan nenek moyang mereka tidak pupus ditelan zaman,” katanya.