Perkara itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak di Kampus Kejuruteraan USM di sini pertengahan bulan lalu.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, usaha dan perkembangan bidang keusahawanan itu adalah penting dan wajar diperluaskan selaras dengan tuntutan pasaran hari ini yang lebih mengutamakan kelahiran pencipta kerja (job creators) berbanding pencari kerja (job seekers).

“Bagi pihak USM pula, kita membuka peluang kepada kakitangan Celcom untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu di USM,” katanya dalam majlis tersebut.

Dalam majlis itu, Celcom diwakili Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan, Saiful Bahrin Abd. Ghaffar.

Yang turut hadir Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Celcom, Farizad Khan Mohd. Ali.

Dalam pada itu, Saiful Bahrin turut melahirkan rasa teruja dengan kerjasama syarikat tersebut dengan USM yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah meningkatkan modal insan dalam kalangan kakitangan syarikat berkenaan.

Sementara itu, dalam majlis sama, beliau turut menyumbangkan zakat berjumlah RM100,000 kepada Tabung Zakat, Yayasan USM untuk diagihkan kepada penuntut daripada golongan asnaf.