Majlis Amanat bersama Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad diikuti dengan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Tamhidi kemudiannya diadakan di hadapan Pengurusan Tertinggi Universiti. Naib Canselor dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang terpilih ke Tamhidi kerana jumlah permohonan yang diterima amat tinggi saban tahun.

Tamhidi USIM menerima sebanyak 14,442 permohonan untuk kemasukan kali ini dengan seramai 1,867 calon memilih USIM sebagai pilihan pertama dan hanya 1,360 berjaya ditawarkan melanjutkan pengajian ke lima Program Tamhidi. Lima program tersebut adalah Tamhidi Sains dan Teknologi, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Syariah dan Undang-undang, Tamhidi Perubatan dan Tamhidi Pergigian.

“Proses pendaftaran kali ini berlangsung dalam suasana yang teratur dan lancar dengan bantuan daripada pengurusan dan urus setia bagi memastikan sebarang keperluan atau informasi dapat disalurkan dengan tepat kepada ibu bapa dan pelajar mendaftar. Kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan lagi di masa akan datang.”

“Menarik bagi pendaftaran kali ini kita turut menerima pelajar sulung antarabangsa untuk Program Tamhidi Perubatan iaitu Nusaiba Abu Abul Khair dari Australia. Selain itu, kita turut menerima dua orang pelajar tempatan yang memasuki Tamhidi melalui saluran peperiksaan O-Level, tidak melalui keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) seperti kebiasaan.” ujar Prof Madya Dr Asmaddy Haris, Pengarah Pusat Tamhidi USIM.

Faridatul Najah Abdul Aziz, bekas pelajar sekolah harian dari SMK Batu Sepuluh, Lekir, Perak memilih Tamhidi Syariah dan Undang-undang bagi meneruskan pengajian dalam bidang agama dan memilih Tamhidi kerana tertarik dengan visi USIM.

“Meletakkan elemen integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang mengangkat agama Islam dalam pengajiannya sesuatu yang amat sesuai dengan jiwa saya. Setiap kali membaca akhbar dan ada berita tentang USIM, ia lebih menguatkan lagi hasrat saya untuk menyambung pengajian Tamhidi dan keluarga turut menyokong keinginan saya ini, Alhamdulillah,” ujar Faridatul Najah.

Ahmad Ammar Ishak , bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah pula memilih USIM sebagai pilihan pertama kerana mendapat galakan keluarga terutama kakaknya yang turut menyambung pengajian di USIM. Impiannya besar iaitu ingin menjadi Akauntan Islam untuk memberi nafas baharu dalam mengurus dan menjaga kekayaan umat Islam pada masa hadapan.

“Kakak juga sentiasa memberikan gambaran yang baik tentang USIM dari segi pensyarah, persekitaran pembelajaran dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. Oleh itu, saya tanpa ragu-ragu memilih USIM sebagai pilihan pertama semasa membuat permohonan tempoh hari,” ujar Ahmad Ammar.

n Dikeluarkan oleh 
Pusat Komunikasi Strategik USIM