Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, projek itu merupakan salah satu inistiatif di bawah Projek Smart Kampus Digital dengan sasaran menjadi universiti awam sebagai kampus pintar atau kampus digital sepenuhnya menjelang Jun 2018.

Katanya, konsep yang diperke­nalkan universiti itu juga adalah seiring dengan revolusi pendidikan tinggi 4.0.

“Pelaksanaan Kampus Tanpa Tunai ini bukan sahaja memudahkan para pelajar kerana tidak perlu ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang, tetapi turut selari dengan perkemba­ngan teknologi terkini yang dilihat menjadi trend semasa.

“Ini adalah fasa pertama yang memberi tumpuan kepada membudayakan transaksi tanpa tunai ini. Pada fasa kedua Julai ini akan melibatkan proses integrasi dengan perkhidmatan pembayaran universiti seperti bayaran denda, yuran pengajian dan lain-lain tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Projek Kampus Tanpa Tunai di Kompleks Islam Tuanku Muhriz di Kompleks Islam Tuanku Muhriz di Nilai di sini semalam. Yang turut hadir Ketua Projek Kampus Tanpa Tunai, Datuk Mohd. Abd. Rasid Mohd. Fadzil.

Projek yang menggunakan sistem e-wallet itu adalah kerjasama antara USIM dan Boost melalui Celcom-Axiata.

Menurut Musa, buat permulaan para pelajar USIM kini boleh membuat pembelian dan urusniaga seperti di kafe, Koperasi USIM dan ruang niaga pelajar yang berada di kawasan sekitar 5 radius universiti berkenaan.

“Ia bukan hanya berfungsi bagi pembelian malah pelajar boleh memanfaatkan proses tambah nilai daripada ahli keluarga dan setiap transaksi menggunakan aplikasi Boost akan menikmati kemudahan ganjaran yang disediakan,” katanya.

Beliau memberitahu, warga kampus itu juga boleh memanfaatkannya untuk membayar zakat dan berwakaf serta membuat sumbangan kepada tabung-tabung di universiti tersebut.