Projek penyelidikan yang dijayakan USIM itu mendapat kerjasama Lembaga Perbadanan Kampung Bharu (M.A.S) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi yang mewakili USIM, Prof. Madya Dr. Mahazan Abd. Mutalib berkata, projek penyelidikan K4C membangunkan kapasiti sesebuah institusi dan masyarakat menerusi Program Latihan Mentor (MTP) bersama komuniti.

“Projek ini akan memastikan komuniti setempat mempunyai kemahiran kurikulum dan pembelajaran melalui perkongsian ilmu dan pengetahuan.

“Hasil utama MTP membantu meningkatkan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat melalui usaha-usaha membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi sekali gus menggalakkan kemakmuran dan kesejahteraan semua,” katanya.

Mahazan berkata, program MTP menunjukkan USIM sedang merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan yang menyasarkan universiti sebagai platform menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam penyampaian ilmu dan kemahiran menerusi penyelidikan.

Sementara itu Setiausaha Kehormat M.A.S, Shamsuri Suradi berkata, projek MTP memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bharu kerana berpeluang untuk mempelajari ilmu baharu dengan kepelbagaian teknik pengajaran dan penyelidikan USIM.

“Penduduk di sini akan berpeluang menikmati pendidikan walaupun bukan di universiti atau pendidikan secara formal kerana pada akhirnya ilmu yang mereka peroleh daripada program ini membantu mengubah gaya hidup yang lebih baik pada masa depan,

“Di peringkat jaringan kerjasama Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), projek ini akan diketuai oleh Prof. Dr. Budd Hall dari Universiti of Victoria, Kanada dan Dr. Rajesh Tandon dari Akademi Antarabangsa PRIA, India,” katanya.