Dominasi UPSI terserlah dalam kedua-dua kategori pidato dan debat apabila wakilnya, Nurul Iwan, 23, merangkul gelaran johan pidato manakala Zulizam Nasip, 21, mendapat tempat kelima. Bagi kategori debat pula, UPSI berjaya mara ke separuh akhir.

Nurul yang dihubungi Utusan Malaysia sangat bersyukur atas kejayaannya bergelar johan kerana saingan dalam pertandingan kali ini amat sengit walaupun hanya melibatkan mahasiswa Sabah.

Katanya, dengan tempoh persediaan yang sangat singkat iaitu hanya seminggu, pengorbanannnya nyata tidak sia-sia setelah berjaya menjadi juara sulung kategori pidato untuk pertandingan itu.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan serta bantuan terutama rakan-rakan seperjuangan dalam Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (Iksas) UPSI,” katanya.

Untuk kategori debat pula, juara dirangkul pasukan dari UPM yang dibarisi Ahmad Firdaus Mul, 23; Nurul Syamimi Zulkafle, 20; Nurdiana Sineng, 20, dan Ahmad Alfhikrey Ahmad Japar, 23.

Nurul Syamimi yang juga merangkul Anugerah Pendebat Terbaik Akhir berkata, kejayaan pasukannya banyak dibantu rejim latihan berfokus yang dikendalikan jurulatih, Badri Ishak.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dalam Kelab Debat UPM yang banyak melapangkan masa membantu kami dengan berkongsi buah fikiran dan mendidik kami yang masih baharu dalam arena debat.

“Kejayaan ini membuktikan tidak ada yang mustahil dalam kehidupan, yang penting jangan pernah jemu untuk belajar,” katanya.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Kepada ketua Menteri Sabah, Ariffin Asgali.

Piala Debat dan Pidato Akinabalu 2019 adalah pertandingan yang diadakan untuk mencungkil bakat pengucapan awam dalam kalangan mahasiswa Sabah yang julung-julung kali diadakan. Sebelum ini ia dikenali sebagai Pertandingan Debat dan Pidato D’bayu G3S.

Sebanyak 10 universiti mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Persatuan Mahasiswa Sabah (Permis) UKM itu yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lalu.

Menurut Ketua Programnya, Nurhaizie Suhaira Mokeri, 23, pertandingan ini menjadi platform untuk merapatkan hubungan sesama anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di Semenanjung.

“Ia juga bertujuan mengasah bakat mahasiswa Sabah dalam ilmu pengucapan awam dan kepemimpinan dalam melaksanakan program yang berimpak tinggi,” katanya.