Dalam majlis itu, syarikat tersebut, Aerial Imaging Sdn. Bhd., diwakili oleh Pengurus Kewangannya, Tuan Ikhsan Teh manakala Unimap pula oleh Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Berangkat menyaksikan majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pesawat KAMA 2X yang bernilai RM50,000 sebuah itu dibina hasil penyelidikan selama tujuh tahun antara Unimap dan syarikat Drei Sohne Technologies Sdn. Bhd., yang menawarkan perkhidmatan sistem UAV.

Menurut Dekan Sekolah Perniagaan Inovasi dan Teknousahawan Unimap, Prof. Madya Dr. Hazry Desa, KAMA 2X pertama kali digunakan untuk meracun serangga bagi tanaman padi di Perlis.

Katanya, pesawat itu turut digunakan bagi merakam imej banjir di Kelantan sebelum datanya diproses di dalam perkakasan komputer untuk menghasilkan lakaran tiga dimensi (3D).

“Menerusi lakaran 3D itu, kita dapat menentukan aliran air banjir seterusnya pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk dan bantuan kemanusiaan,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi LOI pembelian KAMA 2X oleh Aerial Ima­ging Sdn. Bhd., pesawat itu akan dilengkapi kamera infra merah bagi menentukan tahap kemata­ngan pokok kelapa sawit seterusnya mengira tempoh masa berbuah.

Katanya, pesawat tersebut juga boleh digunakan untuk mengira bilangan pokok kelapa sawit dalam sesebuah ladang bagi menjangka hasil pengeluaran tanaman berkenaan.

“Kita menjangka dapat menghasilkan 10 buah KAMA 2X dalam tempoh enam bulan lagi bagi kegunaan syarikat itu,” katanya.