Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UniKL MSI jelajah seluruh negara

Pelajar dari Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu menyertai salah 3
Pelajar dari Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu menyertai salah satu modul dalam program i-Lead, Flag Rising anjuran UniKL MSI.

DI SEBALIK kesibukan de­ngan jadual kuliah, sekumpulan mahasiswa Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah tidak melupakan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat khususnya golongan pelajar sekolah.

Bertitik tolak daripada objektif untuk membentuk pemimpin masa depan, program i-Lead (Intellectual Leadership) iaitu kem motivasi Lead Now Learn How dengan beberapa modul te­lah diperkenalkan oleh universiti berkenaan dua tahun lepas.

Walaupun boleh dikatakan masih ‘hijau’, namun i-Lead yang memberi peluang kepada pelajar menganjurkan kem motivasi kini sudah bertaring apabila mula mendapat tempat dalam kala­ngan pelajar sekolah mene­ngah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Ketua Fasilitator i-Lead, Muhammad Zamri Zainal Abidin, 24, berkata, program berkenaan sehingga kini sudah dijalankan di lebih 30 buah sekolah selain mula mengetuk pintu beberapa institusi pengajian tinggi dan pejabat kerajaan.

Katanya, objektif utama program berkenaan ialah untuk membentuk kepimpinan dalam kalangan peserta selain memberi nilai tambah kepada pelajar UniKL yang bertindak sebagai fasilitator.

Menurut penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejurute­raan Mekanikal (Automotif) itu, sepanjang menjalankan program berkenaan, dia dan rakan-rakan turut mempero­leh pelbagai pe­ngalaman yang menguatkan me­reka sebagai satu unit.

“Pada dasarnya, kem ini dianjurkan untuk memupuk kemahiran kepemimpinan dalam kalangan peserta, malah dapat mencungkil potensi diri untuk menjadi pemimpin masa depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Muhammad Zamri berkata, pengalaman menjelah ke seluruh negara termasuk ke Sabah ketika menjalankan program berkenaan turut memberi peluang kepada mereka untuk memahami budaya dan latar belakang pelajar yang berbeza di setiap tempat.

“Sejak dimulakan pada 2015, kami dijemput menganjurkan kem ini di sekolah-sekolah di bandar dan luar bandar termasuk di beberapa sekolah mene­ngah di daerah Keningau, Sabah yang mana ia merupakan pengalaman yang cukup mengujakan.

“Ini kerana bukan sahaja pelajar dari sekitar bandar Keningau yang datang, malah pelajar dari sekolah pedalaman turut tidak melepaskan peluang kem berke­naan. Lebih membuatkan kami kagum ialah semangat mereka apabila sanggup berjalan jauh semata-mata untuk mengikuti program i-Lead di negeri ber­kenaan,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa UniKL, Muhammad Amir Ariff, 24, ber­kongsi pengalamah terlibat dalam penganjuran i-Lead berkata, mereka turut turun ke sekolah Orang Asli di Kuala Kangsar, Perak.

Modul program yang disediakan untuk pelajar di situ sedikit berbeza, malah mereka berhadapan tugas yang lebih mencabar ke­rana kesukaran untuk berkomunikasi dengan murid Orang Asli yang pemalu.

“Sebelum kami menganjurkan kem di SMK Bawong, kawasan sekitar sekolah itu dilanda banjir dan kehidupan mereka terjejas.

“Namun, semangat untuk men­dapat ilmu kepimpinan yang tidak luntur membuatkan kami bertekad memberikan yang terbaik, malah kem di sekolah ber­kenaan yang dijalankan selama dua hari mendapat sam­butan hangat apabila diser­tai lebih 200 pelajar,” katanya.

Menurut Muhammad Amir, kem i-Lead di Kuala Kangsar turut memberi pengalaman baharu kepadanya kerana dapat belajar pendekatan serta cara komunikasi yang sesuai untuk bergaul dengan masyarakat Orang Asli.

“Apa yang saya perhatikan, kita sebagai orang luar yang masuk ke sana tidak boleh bersikap terlalu agresif kerana mereka (Orang Asli) tidak suka dipaksa.

“Apabila mereka (Orang Asli) sudah selesa, baru mereka akan mendekati kita. Ini seterusnya membantu membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih rasional dan memahami kepelbagaian tradisi yang wujud dalam negara kita,” katanya.

Untuk rekod, katanya, antara sekolah yang menggunakan ‘kepakaran’ mereka termasuklah SMK Arau, Perlis, Kolej Sultan Abdul Hamid, SMK Ibrahim, SMK Kulim (Kedah), SMK Mak Lagam, SMK Orkid Desa, SMK Penanti, SMK RLKT Lasah dan SMK Bawong di Perak.

Katanya, mereka turut terlibat dalam program itu bersama Maktab Rendah Sains MARA Polis Diraja Malaysia (MRSM-PDRM), Kolej Vokasional Kulim, SM Tek­nik Alor Setar, KKTM Peta­ling Jaya serta Jabatan Pendidikan Daerah Kulim dan Kuala Kangsar.

Katanya, program yang sama juga pernah diadakan di peringkat Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Ne­geri Terengganu, MGK Kemaman, MGK Setiu dan MGK Hulu Terengganu.

Katanya, i-Lead mempunyai lebih 30 modul interaktif dan akan disesuaikan dengan sasaran kumpulan peserta bagi setiap lokasi.

Tambah beliau, antara modul interaktif yang ditawarkan ialah modul-modul berkaitan dengan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Kempimpinan serta jati diri seperti Jom Viral, Origami Market, Amazing PRS, Oh Negaraku dan Perfect Our Solat.

“Setiap satunya mempunyai pengisian tersendiri yang berbentuk kepimpinan, semangat berpasukan, aspek kerohanian, semangat patriotik dan motivasi diri,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa yang turut terlibat sebagai fasilitator, Hafiz Salihin, 26, berkata, sepanjang program i-Lead, mereka akan memantau ‘perkembangan’ peserta.

“Kita akan memberi laporan kepada pihak sekolah tentang perubahan yang berlaku kepada pelajar mereka. Pada permulaan program, peserta biasanya pasif, namun perubahan akan dapat dili­hat pada penghujung program.

“Sampai satu tahap, kita melihat pelajar-pelajar sekolah ini mampu menguruskan majlis penutup dalam tempoh yang singkat tanpa bantuan fasilitator, selain kemahiran kepimpinan dan komunikasi mereka yang bertambah baik.” katanya.

Tambahnya, fasilitator yang terlibat turut menyertai akademi i-Lead yang dianjurkan pada setiap semester di kampus UniKL MSI bagi menambah baik prestasi fasilitator dan membentuk fasilitator yang baharu untuk program i-Lead.

Jelasnya, kepelbagaian modul dinilai dan dikemas kini bagi memberi penyampaian yang ba­ik dalam setiap program i-Lead yang dianjurkan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain