Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UniKL mahu lahir Jurutera Teknologis Huffaz

PARA pelajar UniKL yang mengikuti Program Teknologis Huffaz UniKL 6
PARA pelajar UniKL yang mengikuti Program Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab berkumpul untuk membaca dan menghafal al-Quran di UniKL Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL micet), Melaka.

APABILA berbicara tentang sesuatu perkara melibatkan ilmu keagamaan, sering kali orang ramai akan mengaitkan individu yang mengikuti pengajian itu sebagai pelajar daripada institusi agama.

Bagaimanapun, persepsi itu cuba dipe­cahkan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) apabila merancang me­lahirkan graduan yang baik dari segi akademik, mahupun ilmu agama, walaupun UniKL bukan sebuah institusi berasaskan agama.

UniKL mengambil langkah itu dengan memperkenalkan Program Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab yang memberi peluang kepada pelajar institusi tersebut menjadi seorang hafiz al-Quran.

Menurut Timbalan Pengarah 1, Pusat Pembangunan Mahasiswa UniKL, Wan Suriyani Che Wan Ahmad, program tersebut adalah selaras dengan usaha dan matlamat kerajaan yang ingin melahirkan serta membangunkan mahasiswa holistik serta seimbang dari segi akhlak dan ilmu seperti tertera dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi).

“Program khas ini merupakan inisiatif terbaru UniKL untuk pelajar lulusan tahfiz di peringkat sekolah yang berminat mengikuti pengajian kejuruteraan teknologi dan perubatan di UniKL.

“Pada masa sama, program itu diperkenalkan sejajar dengan hasrat UniKL untuk menyediakan ruang dan platform bagi golongan hafazan yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal.

“Malah, pelajar juga berpeluang mengekal dan meneruskan ha­fazan mereka, ter­utamanya pelajar le­­pasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Diploma khususnya pelajar lepasan tahfiz dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan juga sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz,” katanya.

Tambah Wan Suriyani, terdapat tiga matlamat utama program tersebut selain menyediakan satu sistem integrasi modul pengajian bersepadu untuk program kejuruteraan teknologi dan perubatan sedia ada dengan modul pengajian tahfiz.

“Kedua, melahirkan program golo­ngan ahli profesional dan teknokrat yang holistik dengan kemahiran serta sahsiah yang tinggi di sam­ping mahir dalam bidang keagamaan sebagai generasi Ulul Albab dan pencinta al-Quran.

“Kemudian, membina budaya saintifik al-Quran dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) sebagai pengupaya dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.

Bagi pelaksanaan program itu pula, mahasiswa yang berminat perlu lulus dalam ujian kelayakan hafazan sebelum mengikuti kelas tersebut dengan menjalani kuliah akademik seperti biasa dan ditambah bersama kelas hafazan pada sebelah pagi.

Para pelajar diperuntukkan masa 10 jam seminggu untuk bersama guru tahfiz serta mengikuti modul persediaan khas yang dihasilkan oleh pihak UniKL.

Pengendalian program tersebut akan diselia dan dipantau oleh seorang penyelaras program iaitu pensyarah serta guru tahfiz yang berkelayakan dan diiktiraf oleh pihak Darul Quran.

Sementara itu, Ketua Seksyen Pembangunan Mahasiswa UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Abd. Rashid Abd. Halim berkata, terdapat kelebihan dalam program tersebut yang menjadi tarikan kepada para pelajar.

“Selain memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan atau perubatan, mahasiswa yang telah lengkap hafazan sebanyak 30 juzuk adalah digalakkan untuk menduduki ujian bagi Sijil Tahfiz Malaysia yang akan dikendalikan secara koordinasi bersama Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Itulah pengiktirafan yang akan diperoleh mahasiswa ber­kenaan selepas bergelar Jurutera Teknologis Huffaz,” jelasnya.

Katanya lagi, mahasiswa yang mengikuti program itu akan diberi ruang untuk mempraktikkan hafazan serta bergiat aktif dalam aktiviti lain yang diadakan di Pusat Islam kampus masing-masing.

“UniKL juga berhasrat untuk memberi lebih pendedahan kepada pelajar melalui aktiviti mobiliti sama ada di dalam atau luar negara. Sebagai contoh, menjadi imam tarawih di Kemboja atau terlibat dalam program ibadah korban di Thailand,” katanya.

Pengambilan pertama telah dilakukan pada September lalu me­libatkan 43 mahasiswa di empat kampus UniKL dan bakal dikembangkan dengan empat lagi kampus pada September ini.

Pengambilan baharu akan diadakan sekali setahun iaitu pada bulan September dan UniKL menetapkan sasaran untuk mengambil 30 mahasiswa sahaja bagi setiap kampus bagi memastikan kualiti program yang dijalankan.

Untuk permulaan, tiada yuran yang akan dikenakan oleh pihak UniKL bagi pelajar yang terpilih kerana mereka yang layak akan menerima bantuan dermasiswa daripada Yayasan Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau penajaan lain.

Ketika menceritakan pengalaman me­ngikuti program tersebut, pelajar jurusan Penyenggaraan Automotif UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI), Wan Muhammad Aliff Wan Isa, 20, berkata, dia akan menggunakan peluang itu untuk menjadi seorang tahfiz Quran.

“Saya memang berminat untuk menjadi seorang tahfiz sejak dari kecil lagi, namun tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi alhamdulillah kini diberi peluang itu walaupun perlu bermula daripada ‘kosong’,” katanya.

Pelajar jurusan Memateri dan Pemeriksaan Kualiti UniKL MFI, Muhammad Aiman Abul Kassim, 20, pula yang pernah menimba ilmu di MRSM Kota Putra berharap supaya dirinya dapat menghabiskan program tersebut semasa mengikuti pengajian di UniKL.

“Saya berniat untuk menghabiskan segala modul dalam program ini kerana selain berjaya dalam bidang akademik, kejayaan itu haruslah seiring de­ngan kejayaan dalam bidang agama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain