Begitu juga aspek senaman bagi tujuan kesihatan, tidak terkecuali berhadapan dengan pembaharuan. Jika dahulu kita hanya terdedah dengan senaman aerobik, kini kemunculan zumba mendapat sambutan hangat di seluruh negara.

Paling baru muncul satu lagi gaya senaman yang lebih moden dan sesuai bagi golongan muda iaitu Aerodance.

Siapa sangka keterlibatan sekumpulan pelajar bidang perubatan iaitu UiTMedic Aerodance Team dari cawangan Sungai Buloh ini telah berjaya mengubah sepenuhnya tanggapan masyarakat terhadap mereka sebagai kelompok pelajar yang pasif dan ulat buku.

Sejak merangkul gelaran juara dalam pertandingan Medics Intervarsity Games (MIVG) yang diadakan pada tahun lalu, ia membuka mata orang ramai apabila para pelajar perubatan berani menonjolkan diri dan bakat mereka melalui persembahan lincah ini.

Menurut Ketua kumpulan UiTMedic Aerodance Team Sungai Buloh, Muhammad Ikhmal Azzarin, 21, mereka terdiri daripada 10 ahli dalam satu kumpulan yang terdiri daripada pelajar tahun pertama sehingga tahun kelima.

‘‘Kami disatukan dalam sebuah kumpulan bagi tujuan menyertai MIVG pada 8 dan 9 Disember lalu yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada pertandingan tahunan ini kami telah mengekalkan kedudukan juara bagi kali kedua berturut-turut mengalahkan tujuh pasukan dari universiti lain. Ini adalah satu kepuasan kerana kami memberikan kesungguhan yang tinggi sewaktu menjalankan latihan,’’ ujar Muhammad Ikhmal

Idea Ketua, Berlatih Sendiri

Ternyata kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti Aerodance ini tidak menggunakan perkhidmatan jurulatih luar kerana Muhammad Ikhmal sendiri memiliki latar belakang dalam seni tarian.

‘‘Saya terlibat dengan aktiviti tarian sejak berusia 15 tahun. Syukur saya dapat memanfaatkan minat ini sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi mencapai cita-cita sebagai seorang doktor,’’ ujarnya.

Tambahnya, jika sebelum ini dia hanya terbiasa dengan gerak tari tradisional, namun dia begitu tertarik dengan tarian moden dan lebih mencabar dalam aspek pergerakannya.

Sementara itu, kumpulan Aerodance ini melibatkan pertukaran keluar dan masuk ahli memandangkan Muhammad Ikhmal memerlukan mereka yang benar-benar layak bagi mewakili institusi pendidikan tempat mereka belajar.

‘‘Setiap tahun saya sendiri akan mengadakan sesi ujibakat dan pemilihan peserta. Kira-kira 40 orang pelajar telah menghadirkan diri, namun hanya 10 orang layak dipilih disebabkan penetapan kuota maksimum peserta oleh pihak penganjur,’’ kongsinya.

Dalam pada itu, Muhammad Ikhmal selaku ketua kumpulan akan menentukan gaya tarian dan penggunaan muzik sewaktu menari.

‘‘Saya banyak memanfaatkan kemudahan YouTube bagi mempelajari sedikit sebanyak teknik-teknik Aerodance pada waktu lapang. Jadi, ketika sesi latihan bersama ahli kumpulan yang lain, idea-idea tersebut akan datang dengan mudah serta memenuhi syarat pertandingan yang perlu mengetengahkan pelbagai gaya tarian,’’ ujar Muhammad Ikhmal.

Kongsinya lagi, mereka yang terdiri daripada pelajar yang berbeza tahap pengajian, turut mengalami kekangan dalam mendapatkan ruang dan masa untuk melakukan latihan. 

Dalam hal ini, bijak mengatur masa adalah aspek yang paling penting. Mereka akan belajar seperti biasa pada waktu siang dan akan menghabiskan waktu sehingga pukul 10 malam bagi memantapkan lagi pergerakan tarian.

‘‘Setakat ini saya dapat menggabungkan pelbagai gaya tarian seperti Hindustan, K-Pop dan Melayu bagi menjadikan persembahan ini lebih menarik. Bagi mendapatkan tenaga yang diperlukan, kebanyakan ahli dalam kumpulan ini sebenarnya memiliki sedikit asas dalam tarian sejak di bangku sekolah lagi, jadi mereka mampu untuk mengekalkan tenaga sewaktu beraksi,’’ tambah Muhammad Ikhmal.