Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, perolehan status itu merupakan hasil komitmen daripada seluruh warga universiti sejak tahun 2013 dalam memastikan UiTM mampu menguruskan pengiktirafan program akademik yang ditawarkan.

"Melalui pengiktirafan ini, UiTM terbukti mampu untuk mengurus, mengendali kecukupan dan kesanggupan mengawal sesebuah program akademik.

"Status ini hanya mampu dicapai dengan kerjasama seluruh warga UiTM termasuk di kampus-kampus cawangan yang membentuk dokumen Self Review Porfolio, Self Review Report untuk diaudit oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambah Hassan, melalui status Swaakreditasi yang diterima daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh itu, pihaknya selepas ini akan memperluaskan skop jaminan kualiti membabitkan keseluruhan program akademik yang ditawarkan oleh UiTM.

Jaminan kualiti itu jelasnya akan diuruskan oleh Unit Jaminan Kualiti, Institut Kualiti dan Pemgembangan Ilmu UiTM.

"Bagi menyokong inisiatif itu, satu pasukan panel penilai yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang masing-masing akan dibentuk dan dilatih oleh MQA," ujarnya. - UTUSAN ONLINE