UCBP wakil tunggal negara melakar rentetan sejarah baharu apabila delegasi seramai 10 orang itu pulang dengan kemenangan dalam beberapa kategori yang dipertandingkan termasuk tempat pertama bagi anugerah Global Enterprise Challenge (GEC) bersama dengan kumpulan pelajar dari China dan Korea.

GEC melibatkan pembenta­ngan berasaskan kajian kes sebenar dalam perniagaan oleh kumpulan-kumpulan pelajar pelbagai negara dengan mengenal pasti cabaran, risiko dan peluang dalam perniagaan global.

Naib Canselor UCB, Prof. Dr.Ab Aziz Yusof memberitahu, UCB turut memenangi tempat kedua dan ketiga dalam The International Trade Show (ITS) dan PE StartUP Challenge bagi kategori 'Best Salesmanship' dan Booth Terbaik.

“Ini penyertaan kali pertama oleh Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pengajian Bahasa (BestPEC) UCB untuk memberi pengalaman kepada pelajar atau pelatih di peringkat antarabangsa dan telah membuahkan hasil,” ujarnya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Sulaiman Yamin disertai empat pelajar ia­itu Puteri Shafiqatul Atras Megat Hamari, 24, Intan Sofea Zulkarnain, 21, Mohamad Noorfitri Jaa­far, 22, dan Muhammad Ideham Isa, 21.

Yang turut serta Bendahari UCB, Iskandar Arash Mahmud; Timbalan Pendaftar, Zainah Jamil; Pengarah Pembangunan Usahawan dan Pengajian Bahasa, Abdul Razak Salleh; pensyarah perakaunan, Norulhuda Abdul Razak.

"Program itu memberi peluang kepada pelajar dan pelatih BestPEC menimba pengalaman keusahawan peringkat antarabangsa hasil pertemuan dengan pelajar, pendidik, ahli perniagaan serta profesional industri daripada pelbagai negara," katanya.

Katanya, produk yang dibawa oleh pasukan Trigona Champions Sdn.Bhd. untuk dipertandingkan ialah madu kelulut Trigona dan lima jenis sabun berasaskan madu dihasilkan sendiri Trigona UCB.