Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Taib Dora berkata, usahasama itu dijalin bersama syarikat Dominant Opto Technologies Sdn. Bhd. yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan lampu LED dengan penubuhan makmal di Fakulti Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (FSTK).

Menurutnya, menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan menyumbang sebanyak tiga mesin pembuatan lampu bernilai RM500,000 LED iaitu Die Bond, Wire Bond dan Sorter bagi membolehkan pelajar menjalankan pembelajaran secara berkesan di makmal.

“Usahasama ini juga adalah sebahagian usaha dalam mentransformasikan teknologi makmal dengan menjalankan pemindahan teknologi dalam bidang pembuatan lampu LED berasaskan teknologi hijau kepada tenaga pengajar dan pelajar KUIM.

“Dengan kerjasama ini sudah pasti ia akan memberi faedah dengan situasi menang-menang kepada dua pihak terutamanya dalam bidang jaringan industri dan kebolehpasaran graduan.

“Ia juga dilihat dapat memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah dari segi pengajian dan pembelajaran, malah berupaya menghasilkan graduan berminda inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian Makmal Dominant dan Kempen Tanpa Beg Plastik dan Polisterin Peringkat KUIM, di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Dominant Opto Technologies, Tay Kheng Chiong dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (Jaimas) KUIM, Datuk Dr. Baharudin Puteh.

Mohd. Taib berkata, dengan inisiatif itu diharap dapat memberi nilai tambah dalam meningkatkan produktiviti dan melahirkan modal insan yang berkualiti dalam kalangan mahasiswa.

“Harapan kita agar nilai tambah seperti budaya inovasi, ‘output’ yang berkualiti serta nilai intelektual pelajar dapat dibentuk dalam usaha memacu KUIM ke arah kejayaan,” katanya.