Presiden dan pengasas Universiti Limkokwing Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, kejayaan itu hasil daripada usaha Universiti Limkokwing selama ini yang menyediakan akses kepada pengajaran dan pembelajaran di 13 kampusnya di seluruh dunia.

Katanya, pengalaman universiti dalam membangunkan modul silibus akademik menepati kehendak pembangunan negara di seluruh dunia termasuk di Afrika.

“Universiti Limkokwing telah banyak melahirkan siswazah bertaraf global yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan kita telah berjaya membantu mereka keluar daripada dibelenggu kemiskinan, mereka merupakan golongan muda harapan keluarga.

“Oleh itu, program pendidikan bagi golongan muda khususnya anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan perlu ditekankan universiti.

“Kami telah berjaya membantu pelajar-pelajar miskin di Afrika dan Asia. Usaha kami dalam membantu pelajar tersebut akhirnya diiktiraf oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai model universiti pendidikan terbaik bagi membantu negara-negara yang membangun pada abad ke-21 ini,” katanya.

Kok Wing berkata, Malaysia merupakan salah satu dari negara di rantau ASEAN yang mempunyai akses pendidikan berkualiti tinggi yang mampu menarik pelajar dari seluruh dunia untuk menyambung pengajian di negara ini.

“Untuk rekod itu, kami salah satu daripada universiti swasta sejak ditubuhkan telah menerima lebih daripada 200,000 pelajar dari 160 buah negara untuk menyambung pengajian pada peringkat diploma hingga ijazah kedoktoran,” katanya.

Kok Wing ketika ditanya tentang usahanya dalam melakukan transformasi pendidikan di Afrika, beliau berkata, di Afrika ramai kanak-kanak miskin yang tidak mampu untuk bersekolah dan melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.

“Isu pendidikan diberi keutamaan oleh saya dalam memastikan setiap kanak-kanak di seluruh dunia termasuk di Afrika mendapat pendidikan yang sempurna. Saya telah membantu mereka dalam menyediakan akses pendidikan dengan memberi peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi.

“Kampus kami di seluruh dunia termasuk di Afrika memberi biasiswa pendidikan percuma serta mengenakan bayaran yuran pengajian yang mampu bayar. Inisiatif ini atas jaringan kerjasama pendidikan antara kerajaan di Afrika dan Universiti Limkokwing,” katanya.

Tambah Kok Wing, menjelang akhir tahun ini pihaknya merancang membuka kampus baharu di Uganda dan Namibia dan menjadikan enam universiti yang dibuka di benua Afrika.

“Ini merupakan rancangan berterusan kami bagi mengubah landskap pendidikan tinggi dan membantu memenuhi permintaan tinggi terhadap siswazah dalam bidang kreativiti dan inovasi terutama teknologi digital,” katanya.