Program yang diadakan sempena Reachout Convention and Celebration 2017 itu disertai oleh 40 mahasiswa dan masing-masing tersentuh hati apabila melihat keceriaan 30 Orang Kurang Upaya (OKU) yang menyambut kedatangan mereka di PDK itu.

Melalui program itu, mahasiswa melihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar istimewa itu membuat bantal dan tilam kekabu yang cantik walaupun cacat iaitu bermula da­ripada proses membuang kekabu daripada buahnya, menjahit sarung hingga memasukkan kekabu ke dalam bantal atau tilam.

Menurut Exco Kesukarelawanan II, Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Dinesh V. M. Ramachandran, 22, program itu bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UUM.

“Saya kagum dengan kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap pelajar istimewa ini. Mereka tidak ada masalah untuk bekerja secara berkumpulan.

“Setiap pelajar diberi tugasan se­perti memotong fabrik, memisahkan biji da­ripada buah kapas, memasukkan kekabu dalam kain sementara seorang lagi akan menjahitnya. Mereka lakukan dengan teliti setiap tugasan yang diberikan dan sememangnya kami dapat belajar sesuatu yang berharga daripada mereka,” katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pe­ngurusan Hospitaliti, Nur Adibah Hasni, 22, pula menyifatkan program itu dapat memupuk kasih sayang antara pelajar dan insan istimewa, selain memantapkan komunikasi sesama mahasiswa.

“Saya berasa seronok apabila dapat meluangkan masa bersama adik-adik istimewa ini, malah terhibur dengan telatah mereka.

“Pengalaman diperoleh di sini amat berbeza berbanding dengan program kesukarelawanan yang pernah saya sertai.

“Bukan senang menguruskan anak-anak istimewa dengan pelbagai ke­renah mereka kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi pihak pe­ngurusan yang menjaga pelajar OKU ini dapat melakukan dengan baik, malah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang,” kata Nur Adibah.

Program tersebut juga dimeriahkan dengan aktiviti membina rumah hijau, melukis mural dan mewarna bersama pelajar OKU.