Program anjuran Pejabat Menteri Besar Kedah bertema Wanita Dalam Kepimpinan, Perniagaan, Seni dan Fesyen Merentasi Sempadan disertai pelajar-pelajar UiTM Kampus Merbok, Kedah; Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kaum wanita di negara ini amat bertuah kerana mempunyai banyak peluang menuntut ilmu bagi mencapai pekerjaan yang lebih baik.

“Mereka perlu membuat persiapan diri secara lebih berani, sanggup berdaya saing dalam menghadapi pelbagai liku-liku cabaran kerjaya pada abad ke-21.

“Sekiranya perkara itu diberi perhatian serius dan mereka dapat dapat pula menguasai ilmu berkaitan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kerjaya masing-masing tentu menjadi mudah dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sepuluh tahun sahaja, kaum wanita di negara ini berjaya mencatat pelbagai kejayaan iaitu lebih menarik berbanding wanita negara-negara lain.

“Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di rantau ASEAN yang meletakkan sasaran dan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan di sektor awam dan korporat.

“Ekoran daripada dasar itu, pada tahun lepas, kita telah berjaya melepasi sasaran dengan pencapaian sebanyak 35.8 peratus wanita pada peringkat pengurusan tertinggi di sektor awam, manakala di sektor korporat pula mencapai sasaran sebanyak 29.9 peratus,” katanya lagi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, sehingga kini, 65 peratus kaum wanita di negara ini mempunyai peluang belajar di pelbagai universiti di seluruh negara dan usaha menyedia kemudahan oleh kerajaan itu perlu diberi sokongan sepenuhnya.

“Saya yakin program ini boleh mencetuskan idea baharu agar wanita lepasan universiti mampu menerokai bidang baru lagi menarik untuk menjadi usahawan terkenal pada masa akan datang,” katanya.

Sepanjang program itu, peserta berpeluang mengikuti Forum Siswi Cinta Negara dengan ahli panel yang terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Senator Dewan Negara, Datuk Fahariyah Md. Nordin dengan moderatornya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kelab Seni Lukis UUM, Nur Syahirah Mohd Nor, 21, ketika ditemui berkata, program diadakan begitu baik sekali dan ceramah disampaikan perlu dihayati setiap peserta ke arah memajukan diri sendiri.

Naib Yang DiPertua Kumpulan Anak Kedah USM, Nur Nabilah Husna Mohd Sopian, 22, pula berkata, inilah cara terbaik pihak Pejabat Menteri Besar Kedah menganjurkan Forum Siswi Cinta Negara agar pelajar wanita tidak tersisih daripada memperoleh kerjaya menarik, termasuk menjadi usahawan hingga mampu bergelar jutawan berjaya.

Pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kedah, Nur Aisha Azreen Mansul, 18, pula berpendapat, program ini sangat baik dalam usaha memperkasa peranan wanita dalam agenda pembangunan negara.