Penganjuran Program Riang Bersama Kanak-Kanak Istimewa yang bertemakan Kasih Sayang Pencetus Cinta itu adalah satu usaha Permadari untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan golongan kurang bernasib baik.

Seawal pukul 9 pagi, seramai 39 ahli Permaidari tiba di G2G Animal Garden Serdang untuk bersama-sama mendengar taklimat guru pengiring PKIB sebelum dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Sepanjang program berlangsung, peserta bukan sahaja berpeluang mendekati lebih daripada 50 jenis haiwan jinak di zoo mini itu, malah aktiviti sampingan lain iaitu demonstrasi penghasilan produk daripada tenusu seperti ais krim serta keju turut diadakan bagi menguji kreativiti mahasiswa serta kanak-kanak tersebut.

Mengetengahkan konsep pengunjung boleh menyentuh dan bermain dengan haiwan, pastinya ia meninggalkan kenangan manis buat para peserta apabila mereka dapat meneroka dengan bebas pelbagai tempat menarik di dalam zoo mini itu antaranya bird aviary, taman arnab, rumah kucing dan rumah reptilia.

Lebih menyentuh hati, terdapat seorang peserta cacat penglihatan tidak dapat menikmati keindahan flora dan fauna di situ, tetapi dengan bantuan peserta lain dia dapat menyentuh seekor kuda dan membayangkan rupa haiwan tersebut.

Kanak-kanak istimewa itu ditempatkan di sebuah premis kebajikan bernama Anjung Kasih dan dikelolakan di bawah PKIB selain mempunyai kelas berfokuskan kepada pendidikan agama untuk membimbing mereka secara jasmani dan rohani supaya golongan ini dapat hidup berdikari serta berani menempuh dunia luar.

Antara kategori kecacatan kanak-kanak tersebut adalah menghadapi masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran seperti autisme serta down syndrome.

Menurut Pengarah Projek, Siti Nur Liyana Mat Abu, penganjuran program tersebut bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa menabur bakti dan berkasih sayang sesama pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini bukan bersifat lawatan semata-mata, tetapi terdapat pelbagai aktiviti dirancang untuk dilakukan bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa supaya mereka berasa disayangi dan tidak tersisih daripada masyarakat.

“Selain itu, ahli Permadari juga dapat mengasah kemahiran insaniah yang merupakan komponen penting serta nilai tambah sebagai mahasiswa untuk bersaing dalam pasaran kerjaya kelak,” katanya.

Sementara itu Penasihat Permadari UKM, Datuk Syed Kamaruddin Sadakkuthulla berkata, secara keseluruhan program tersebut berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan dan meninggalkan impak positif kepada peserta serta komuniti.