Penyertaan buat kali ketiga berturut-turut universiti itu dalam pertunjukan fesyen berprestij tersebut dijayakan oleh satu kumpulan yang terdiri daripada penuntut dan alumni Fakulti Fesyen dan Gaya Hidup Kreatif Limkokwing.

Menurut Naib Presiden Universiti Limkokwing dan Pengarah Kreatif Limkokwing Fashion Club, Datuk Tiffanee Marie Lim, peluang keemasan yang diberikan kepada penuntut Limkokwing itu bagi memperaga pakaian dalam pertunjukan fesyen tersebut merupakan satu pengalaman sangat berharga.

“Pertunjukan fesyen ini merupakan kerjasama berpasukan antara penuntut dan pereka fesyen di Fakulti Fesyen dan Gaya Hidup Kreatif Limkokwing dengan menampilkan idea baharu dan segar.

“Cabaran paling besar yang perlu pasukan ini hadapi ialah mereka perlu mengadunkan rekaan pakaian daripada jenis fabrik dan aksesori yang diambil dari beberapa tempat dari Afrika dan Asia,” katanya kepada Helo Kampus baru-baru ini.

Tiffanee berkata, bagi menampilkan kelainan dalam rekaan kali ini, pasukan tersebut telah mengilhamkan koleksi rekaan pakaian berpandukan elemen-elemen istimewa dari Botswana, Swaziland, Kenya, Kemboja, Thailand, China, Iran, Indonesia dan Maldives.

Katanya, koleksi rekaan tersebut direka bagi menzahirkan perasaan kasih dan cinta melalui rekaan pakaian.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 48 rekaan fesyen telah diperaga oleh barisan model sempena minggu fesyen itu.

Menurut Tiffanee, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan bagi menyiapkan koleksi yang akan dipersembah dalam minggu fesyen itu.

“Peluang menyertai pertunjukan fesyen ini bukan sahaja untuk mempamerkan hasil karya mereka tetapi juga diharapkan menarik perhatian pereka terkemuka dalam bidang ini, sekali gus dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pereka muda kami,“ katanya.