Beliau berkata, dalam masa sama, pihaknya juga berusaha untuk membangunkan buku eletronik sebagai bahan bacaan dilaksanakan mengikut ke­per­luan pelajar selaras dengan per­kembangan globalisasi dan pembangunan teknologi maklumat pada masa kini.

“Keperluan zaman kini memerlukan kakitangan atau pengurus perpustakaan yang kompeten dalam mengurus maklumat yang berkualiti sebagai pemberi dan pembekal maklumat kepada warga akademik.

“Malah 35 kampus UiTM seluruh negara sudah memiliki perpustakaan atau pusat sumber yang bertepatan dengan keperluan pendidikan abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said merasmikan bengkel Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Abad ke-21 di Tok Aman Bali Beach Resort, dekat sini baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam dan Perpustakaan Tengku Anis, UiTM cawangan Kelantan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan diadakan selama tiga hari melibatkan 100 guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) seluruh Kelantan.

Noor Hidayat berkata, PTAR UiTM sentiasa berusaha membantu pengurusan PSS mengubah daripada penyediaan perkhidmatan cara lama kepada pusat sumber yang lebih efisien selari de­ngan perkembangan semasa yang melibatkan program perbengkelan dan pendedahan me­ngenai susun atur buku eletronik dan sebagainya.

“Di Kelantan, kita turut membantu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang membangunkan Pusat Sumber Sekolah Abad ke-21 untuk dijadikan mo­del kepada sekolah-sekolah lain di negeri ini.

“Keceriaan fizikalnya diba­ngun­kan dengan konsep gotong-royong menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) mana­kala lain-lain keperluan se­perti gajet dan peralatan disumbangkan oleh syarikat tertentu untuk turut sama membangunkan pelan pendidikan nasional,” katanya.