Menteri Pendidikan Tinggi , Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penubuhan berkenaan sekali gus menyaksikan UMK sebagai institusi pertama di negara ini yang akan melaksanakan program Perniagaan Sosial.

"Melalui penubuhan SEC ini, saya juga melancarkan Dana Keusahawanan Sosial (DKS) yang akan diuruskan oleh pusat berkenaan. Oleh itu, sumbangan yang diterima sebanyak RM2.6 juta hari ini akan dimasukkan ke dalam DKS bagi melaksanakan program Keusahawanan Sosial Pelajar di Universiti Awam (UA).

"Ini bermakna, semua pelajar UA boleh memohon dana ini dan menubuhkan syarikat bagi menjalankan perniagaan. Malah, SEC akan memainkan peranan bagi memastikan dana ini diagihkan kepada pemohon yang berjaya secara mikrokredit yang mana pelaburan daripada dana ini ke atas syarikat berdasarkan pelan perniagaan yang dinilai sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Forum Perniagaan Sosial di UMK, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr . Awang Adek Hussin dan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Menurut Idris, UMK juga menerima Geran Padanan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program Keusahawanan Sosial berkenaan.

"Justeru, saya harap program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan SEC juga memainkan peranannya memberi latihan tentang perniagaan, pengurusan kewangan, pasaran dan pemasaran kepada mana-mana syarikat yang kita panggil 'start up'," jelasnya.

Penubuhan SEC bermatlamat melihat pertumbuhan ekonomi negara berasaskan penuh tanggungjawab dan bukan berasaskan ketamakan, eksploitasi mahupun mementingkan diri sendiri. -UTUSAN ONLINE