Kejohanan kali ini melibatkan lima acara sukan iaitu bola jaring, bola sepak pantai, bola tampar pantai, bola keranjang dan bola baling. Sebanyak 10 pasukan Politeknik seluruh Malaysia menyertai kejohanan itu dengan anggaran bilangan atlet keseluruhan seramai 350 orang.

Pasukan Politeknik Negeri Sembilan yang merupakan gabungan dua politeknik iaitu Politeknik Port Dickson dan Politeknik Nilai merangkul dua pingat emas dalam acara bola jaring dan bola baling lelaki, satu pingat perak dalam acara bola baling wanita dan dua pingat gangsa dalam acara bola keranjang lelaki dan bola tampar pantai wanita.

Emas pertama diperoleh menerusi acara bola jaring apabila berjaya menumbangkan pasukan Politeknik Terengganu 15–8 pada perlawanan akhir. Emas kedua pula bagi acara bola baling lelaki yang menjulang nama Politeknik Negeri Sembilan sebagai juara keseluruhan. Pada perlawanan akhir, Politeknik Negeri Sembilan mengalahkan Politeknik Pahang dengan jaringan12–3.

Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Port Dickson, Azizul Azrin Mahmor yang juga Ketua Kontijen Pasukan Politeknik Negeri Sembilan menganggap kejayaan meraih juara keseluruhan sangat manis sekali gus menutup kekecewaan pada tahun lalu apabila hanya membawa pulang satu pingat perak.

“Kejayaan merupakan hasil titik peluh dan usaha gigih para atlet dan pegawai pasukan yang terlibat. Tanpa perancangan strategik yang berterusan kejayaan ini tidak mungkin datang bergolek,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Jurulatih Pasukan Bola Baling Politeknik Negeri Sembilan, Mohd. Fauzi Mohd. Kamal menyifatkan kemenangan yang diperoleh oleh pasukannya adalah berkat kegigihan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

Sikap positif para pemain dan fokus dalam setiap perlawanan adalah titik tolak kejayaan pasukan ini berjaya menjulang kejuaraan acara bola baling.