Pasukan Duta Jauhar Polisas berjaya meraih Anugerah Emas, Anugerah Inovasi Harapan, Anugerah Komuniti Terbaik dan Anugerah Penyelia Harapan pada majlis itu yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila dua lagi kumpulan dari Polisas dipilih ke Pertan­dingan Duta Jauhar Grand Finale yang bermula bulan depan.

Pengarah Polisas, Norlida Abd. Razak berkata, kejayaan itu membanggakan kerana Polisas satu-satunya politeknik yang terpilih dan berjaya ke peringkat Grand Finale 4.0.

“Diharapkan penyertaan dalam program seperti ini membantu memupuk nilai-nilai seorang pemimpin dalam diri penuntut seperti profesionalisme, berkeyakinan, berketerampilan dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat.

“Semoga konsep keusahawanan sosial yang cuba diterapkan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada komuniti yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norlida, kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila hasil usaha penuntut Polisas selama empat bulan membantu meningkatkan sosioekonomi pen­­da­patan penduduk Kampung Bumbun memberi impak positif dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, projek berteraskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu yang memfokuskan ke arah keusahawanan sosial mendapat sambutan baik dan sokongan tinggi dalam kalangan masyarakat setempat.

“Antara aktiviti yang dilaksa­nakan di kampung tersebut ialah teknologi aquaponik, mural dan perkongsian idea pengurusan sisa pepejal di rumah,” katanya.