Perpustakaan yang dinamakan sebagai Perpustakaan Al-Fateh itu mempunyai kira-kira 9,000 koleksi bahan rujukan termasuk buku, cakera padat dan terbitan bersiri.

Pengarah KKSP, Najmiah Abdullah berkata, perpustakaan tersebut juga mempunyai pelbagai kemudahan lain untuk pelajar, termasuk sudut e-learning, perkhidmatan foto kopi, per­cetakan dan lain-lain.

“Seramai 60 pelajar boleh berada dalam perpustakaan ini setiap masa.

“Antara tarikan menarik dapat disediakan oleh pihak perpustakaan ialah menyediakan sarapan percuma kepada pelajar dan warga KKSP sebagai inisiatif menggalak mereka mengunjungi perpustakaan,” katanya dalam majlis perasmian perpustakaan berkenaan di kampusnya, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat KKSP ketika merasmikan perpustakaan itu berkata, pelajar perlu ambil peluang mencari pelbagai maklumat tambahan dengan adanya kemudahan seumpama ini.

“Pelbagai jenis buku ada di perpustakaan ini dan pelajar boleh membuat rujukan berte­rusan tanpa ada perasaan jemu serta bosan,” katanya.

Menurutnya, apabila perpustakaan tersebut semakin kemas, ruang membaca dibaik pulih, pelajar sewajarnya perlu berkunjung setiap masa.

“Saya gembira kerana di perpustakaan ini sudah mempu­nyai lebih 9,000 koleksi termasuk monograf, CD, jurnal dan terbitan bersiri untuk dijadikan pilihan dalam kalangan pelajar dan pensyarah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kaunseling KKSP, Siti Norziha Kamalu­ddin melahirkan perasaan gembira kerana dipilih sebagai pemenang utama setelah berjaya memberi nama Perpustakaan Al-Fateh dalam satu pertandingan penjenamaan semula perpustakaan itu.

“Seramai 30 peserta ambil bahagian dalam pertandingan menamakan semula perpustakaan itu dan kejayaan ini menjadi kena­ngan manis kepada saya hingga sukar untuk dilupakan,” katanya.