Mereka terdiri daripada mahasiswa Reka Bentuk Produk, Niny Amelia Harmen, Putri Intan Sari Amrizal dan Norfatihah Yusof yang masing-masing merupakan penuntut Seni Halus.

Menurut Norfatihah, program itu merupakan kerjasama antara Universiti Mercu Buana dan Universiti Indonesia yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia.

Menariknya, kata Norfatihah, program itu yang turut disertai 18 mahasiswa dari Taiwan, Filipina dan Indonesia mendedahkan peserta kepada tradisi dan warisan batik Indonesia secara tradisional dan moden.

“Ia termasuk dari sudut teknik penghasilan, falsafah dalam rekaan, rekaan fesyen, tekstil fotografi, fabrik dan tarian tradisional Indonesia yang mana merupakan pendedahan cukup berharga kepada kami kerana sangat dekat dengan bidang pengajian yang kami ikuti,” katanya di sini.

Katanya, dalam program itu, mereka turut dibawa ke Wisata Batik Komar, Bandung yang me­rupakan antara pengeluar batik terkemuka di Indonesia.

Pada kesempatan itu, ujarnya, mereka berpeluang mempelajari lebih lanjut tentang penghasilan batik secara komersial, penyelidikan dan inovasi (R&I) dalam industri batik tempatan.

Selain itu, program tersebut turut mengundang Ikon Batik Klasik Indonesia, Sakundria Satya Murti Wardhana untuk berkongsi ilmu mengenai pembangunan rekaan batik di Indonesia bukan sahaja dalam industri fabrik malah implementasi batik dalam reka bentuk dalaman dan rekaan produk.

Selain itu, Dr. Ali Akhbar yang juga pensyarah kanan Bahagian Arkeologi, Fakulti Kemanusiaan Universiti Indonesia turut berkongsi ilmu dan pengalaman beliau mengenai pemeliharaan warisan dan kepentingan aspek kesenian kepada masyarakat.