Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid ketika mengumumkan perkara itu dalam satu program melibatkan pegawai universiti itu di Resorts World Kijal, Terengganu baru-baru ini berkata, penjenamaan semula berkenaan melibatkan pegawai dari gred N41 hingga N54.

Katanya, program anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UMP itu antara lain bertujuan me­ngukuhkan pengurusan kerja berpasukan dan hubungan komunikasi berkesan antara pengurus bagi mewujudkan suasana harmoni dalam organisasi.

“Selain itu, peserta dapat me­ngadakan perbincangan dalam menilai semula prestasi pencapaian Pelan Strategik UMP 2011-2015,” katanya pada majlis tersebut yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung forum bertajuk 'Realiti Pentadbir Masa Kini: Pemikiran Global' yang menggandingkan bekas Pendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Zahrah Mokhtar dan Pendaftar Universiti Perdana, Norpisah Mat Isa bersama Abdul Shukur Ishak sebagai pengantara.

Menurut Abd. Hamid, mereka yang berjawatan pengurus di UMP perlu mempunyai pemikiran dan tindakan yang strategik serta global bagi memartabatkan UMP sebagai universiti teknologi bertaraf dunia.

Beliau berharap para peserta dapat mencari kesepakatan dalam merangka strategi bersama bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh universiti berke­naan dalam program tersebut.

“Menjadi satu kemestian semua pengurus UMP memperkukuh dan memikirkan semula peningkatan pengetahuan, kemahiran, kebolehsesuaian dan daya tahan diri supaya menjadi pekerja yang sentiasa peka de­ngan keperluan serta perkemba­ngan UMP amnya,” katanya.