Baru-baru ini, pelajar tahun dua Ijazah Teater menghasilkan persembahan ‘Bertindak Atau Jangan’ yang diadakan pada 4-6 Januari 2019.

Menurut Pembantu Publisiti dan Pemasaran teater berkenaan, Afiqah Shamsi, pementasan itu terdiri daripada tiga sesi tayangan persembahan bagi tiga hari berturut-turut dalam memenuhi syarat subjek wajib institusi itu.

‘‘Setelah meneliti skrip-skrip yang sesuai untuk penonton, teater Bertindak Atau Jangan arahan Ahmad Yatim dan Naque Ariffin menonjolkan 15 segmen dari tujuh naskhah klasik Barat, Shakespeare dan Greek seperti Hamlet, Macbeth, Oedipus Sang Raja, Lysistrata, Impian di Malam dan Pertengahan Musim Panas,’’ ujar Afiqah.

Tambahnya lagi, setiap sesi pementasan yang memakan masa kira-kira satu jam 15 minit menggabungkan babak-babak yang berlainan bagi menarik perhatian penonton sekali gus membuatkan mereka berasa teruja untuk menghayati pementasan ini.

Cabar diri hayati karya klasik

Berbeza dengan pementasan moden yang lebih menekankan unsur pergerakan dan penerapan muzik latar yang menghiburkan, teater klasik memerlukan usaha yang tinggi dalam menyampaikan mesej kepada para penonton.

‘‘Teater klasik asli Barat ini telah diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bahasa Melayu oleh pengarah produksi. Ia lebih berfokus kepada tragedi dan peristiwa. Contohnya, babak pertama iaitu nasihat Hamlet kepada pelakon iaitu cara untuk berlakon dengan betul dan tepat.

‘‘Ia bukan seperti genre biasa yang memerlukan pergerakan pelakon semata-mata, sebaliknya ia memfokuskan kepada lontaran skrip seperti dialog dan monolog ketika persembahan di pentas,’’ kongsi Afiqah.

Justeru, bagi sesetengah pelajar tugas ini sedikit berat dan ada kalanya mereka perlu meletakkan usaha berlipat kali ganda dalam membawa watak tersebut yang menggunakan sepenuhnya ayat-ayat klasik dan asli.

BAGI meneruskan karya klasik dalam masyarakat moden, para pelajar Aswara telah mengerah usaha sehingga 14 minggu menjalani latihan di bawah pengawasan pensyarah.

‘‘Kami membuat perancangan tiga minggu lebih awal sebelum semester bermula bagi proses perancangan skrip, pembahagian tugasan dan watak. Barisan pelakon dipilih mengikut bakat yang mereka miliki sewaktu sesi pembacaan skrip oleh pensyarah,’’ ujar Afiqah.

Kongsinya lagi, pelajar bukan sahaja berpeluang mempelajari cara pembikinan sebuah produksi teater mengikut jalan cerita yang telah ditetapkan, malah mereka turut didedahkan dengan tugasan bahagian lain seperti pengurusan pentas, pengurusan publisiti dan pemasaran.

Menghargai agar tidak dilupakan

‘‘Karya klasik perlu diteruskan bagi generasi akan datang biarpun mengalami saingan hebat daripada karya-karya moden yang dianggap lebih menyeronokkan,’’ kata Afiqah.

Katanya lagi, bagi mereka yang tidak pernah menonton karya klasik, ia tidak sukar untuk difahami cuma persembahannya tidak begitu mudah untuk dikendalikan. Bagi pelajar yang terlibat, membuat persembahan yang mengilhamkan penceritaan dari tujuh buah naskhah Barat memberikan pengalaman yang cukup berharga kerana mereka memperoleh pengetahuan baharu serta menaikkan perasaan untuk lebih menghargai karya ini,’’

Pementasan teater yang melepasi sasaran penonton ini turut mendapat pujian dan komen yang positif. Rata-rata penonton berpuas hati dengan cara penyampaian barisan pelakon yang berkesan dan sekali gus membolehkan mereka menerima perkara yang ingin disampaikan dengan baik.