Sekiranya alam sekitar tidak dijaga dengan sebaiknya, generasi akan datang mungkin tidak dapat menikmati anugerah alam semulajadi seperti mana yang kita nikmati pada masa kini.

Perkara ini mendorong 300 sukarelawan yang terdiri daripada penuntut, pensyarah, ahli keluarga dan orang awam dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk bersama-sama menjayakan projek menghasilkan 21,505 beg kertas daripada surat khabar, baru-baru ini.

Menurut pengasas projek itu, R. C. Bhoshaga Mitrran, 19, program tersebut dianjurkan sebagai satu usaha murni untuk memerangi pencemaran beg plastik yang kebanyakan diguna pakai ketika membeli-belah.

“Menerusi projek ini dapat mendidik orang ramai mengenai keburukan pembaziran surat khabar dan kepentingan penggunaan semula kertas dengan cara yang berbeza.

“Lebih mengujakan, projek ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai beg kertas yang paling banyak dihasilkan daripada surat khabar dalam masa sehari,” katanya.

Tambahnya, penghasilan beg kertas daripada surat khabar sebenarnya adalah satu usaha untuk menyediakan alternatif kepada masyarakat untuk menggunakan kertas selain beg plastik.

“Kira-kira 1,000 kilogram surat khabar digunakan untuk membuat beg kertas ini termasuk dari Perpustakaan Uniten dan dikumpulkan daripada orang ramai.

Mengulas lanjut, Bhoshaga Mitrran memberitahu bahawa program ini dianjurkan oleh Uniten, Kolej Pengajian Asas dan Diploma (CFDS), Uniten Foundation Club dan Lions Club Kuala Lumpur City.

“Projek ini adalah sejajar dengan matlamat pembangunan mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang secara khusus berkait dengan Matlamat 12: Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab dan Matlamat 14: Penjagaan Kehidupan lautan dan sumber laut untuk pembangunan.

“Perkara ini selari dengan matlamat Kempen Sisa Sifar Uniten yang bertujuan mendidik pelajar untuk mengamalkan ‘go green’ terhadap persekitaran mereka dengan membersihkan dan menyusun sisa buangan,” katanya

Pada majlis penutup, pegawai Malaysia Book of Records telah menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Timbalan Naib Canselor (Pengurusan & Pembangunan) Uniten, Prof. Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff.

Yang turut hadir Timbalan Dekan Kolej Yayasan dan Diploma, Dr. Rosmiza Mokhtar dan Pengurus Kanan (Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Kemudahan), Ir. Chan Kim Liang serta wakil Malaysia Book of Records. Kesemua beg kertas itu kemudi­annya diagihkan kepada orang ramai dan peniaga di pusat beli-belah.