Program yang berlangsung bermula 26 Januari sehingga 11 Februari lalu itu turut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajarnya menyantuni budaya Korea dan menjalin persahabatan dengan pelajar universiti di negara berkenaan.

Pelajar Perniagaan Antarabangsa, Lim Ying Thing yang juga ketua kumpulan pelajar ke sana ketika menceritakan pengalamannya berkata, dia pernah menanam impian ke negara itu dan tidak menyangka dapat menjejakinya ketika masih lagi belajar.

Katanya, sepanjang di negara itu, dia teruja mendekati masyarakat Korea selain mempelajari bahasa mereka yang tulen dengan tenaga pengajar berbangsa Korea.

“Saya dan rakan-rakan juga cuba berbahasa Korea ketika beramah mesra dengan masyarakat Korea menyebabkan mereka sangat terkejut dan tertarik pula untuk mengetahui lebih lanjut me­ngenai negara kita.

“Kami juga dapat melihat sendiri budaya mereka di sana termasuklah urusan seharian terutamanya dalam aspek disiplin menggunakan kemudahan awam yang wajar dicontohi oleh masyarakat negara kita,” katanya di Korea Selatan.

Selain Ying Thing dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT), tujuh lagi pelajar adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, PPK Pembuatan, PPK Alam Sekitar dan PPK Bioproses.

Turut sama tenaga pengajar Pusat Bahasa Antarabangsa, Wang Jing.

Terdahulu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program itu adalah julung-julung kali diadakan secara terbuka kepada dua kelompok pelajar kursus bahasa Korea Unimap iaitu bakal pelajar kursus itu dan pelajar bakal mengambil ujian kemahiran bahasa Korea (Topik).