Namun, masih terdapat segelintir masyarakat Orang Asli yang kurang bernasib baik apabila menghadapi 
kesukaran mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian mereka.

Antaranya adalah masyarakat Orang Asli Kampung Donglai Baru, Hulu Langat, Selangor yang bergantung kepada air sungai.Terkesan dengan masalah itu mendorong pelajar-pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantu masyarakat kampung itu membina sebuah empangan kecil Januari lalu untuk menakung dan menyalirkan air bagi kegunaan mereka.

Air yang ditakung disalirkan menggunakan saluran paip ke empat buah tangki besar di kampung itu. Air dari tangki itu pula akan disalurkan ke rumah penduduk. Takungan yang dibina akan memastikan bekalan berterusan untuk penduduk kampung termasuk semasa musim kering atau kemarau.

Program khidmat masyarakat yang dilakukan oleh sekumpulan siswazah Pengurusan Perniagaan (MBA) UKM, Graduate School of Business(UKM-GSB) itu merupakan kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Menurut Dekan UKM-GSB, Prof. Madya Dr. Puan Yatim, sumbangan yang diberikan pihak terlibat sedikit sebanyak telah membantu pelajar UKM menjayakan program khidmat masyarakat ini.

“Program yang dinamakan ‘Re-Live Kampung Donglai Baru’ ini melibatkan usaha pembinaan sebuah empangan kecil di kawasan hutan tinggi.

“Ia bertujuan menakung bekalan air sekali gus menyalurkannya kepada penduduk Kampung Donglai Baru untuk kegunaan seharian mereka,” katanya.

Tambahnya, usaha pembinaan empangan kecil itu melibatkan 11 orang pelajar UKM serta lima orang penduduk kampung yang mengambil tempoh seminggu untuk disiapkan.

“Peralatan-peralatan yang digunakan dalam pembinaan empangan ini adalah dua buah tangki air, saluran paip, pasir, batu-bata dan simen,” katanya.

Mengulas lanjut jelasnya, program itu dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, keyakinan diri dan mewujudkan sikap bertanggungjawab bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan adanya empangan kecil ini diharap dapat menyalurkan sumber air bersih untuk penduduk kampung bagi menjalani segala aktiviti harian mereka.

“Malah, program ini dapat merapatkan hubungan antara pelajar UKM dengan Orang Asli,” katanya.