Tanpa mengenal penat lelah dan berazam melakukan satu projek yang dianggap sukar, pelajar tersebut yang menamakan kumpulan mereka, Flexv.Event dan diketuai oleh Puteri Nor Shahzan Abdul Halim telah menganjurkan pementasan TEMU 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program itu yang dianjurkan dengan kerjasama empat kumpulan tarian terkenal di Lembah Klang iaitu Nyala Dance Theatre, Sanggar Budaya Sri Pengkalan, Rentak Seni dan Aura Tari bertujuan menyemarakkan persembahan seni tarian tradisional Melayu selain memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai perbezaan tarian tersebut.

Pementasan selama tiga hari bermula 19 April lalu berjaya menarik 1,000 peminat tarian tradisional Melayu untuk memenuhi auditorium Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.

Sememangnya apabila menyentuh sahaja soal irama Malaysia yang berkait rapat dengan tarian tradisional Melayu, kita pasti akan mengingati komposer terkenal Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd.Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu.

Justeru, pelajar-pelajar tersebut turut mengadakan tayangan video dan persembahan bagi memberi penghormatan kepada insan seni yang cukup terkenal sebagai pejuang lagu-lagu irama Malaysia itu. Lebih bermakna lagi persembahan `tribute’ turut disaksikan oleh balu Allahyarham, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim. Turut hadir Timbalan Pengarah Media Kreatif dan Teknologi UiTM Shah Alam, Prof.Madya Mohd.Zafrullah Mohd.Taib.

Ketika mengulas kejayaan projek tersebut, Puteri Nor Shahzan berasa teruja dan bangga kerana sepanjang tiga hari pementasan diadakan tempat duduk di auditorium berkenaan sentiasa penuh dengan kehadiran antara 300 hingga 400 penonton setiap hari.

“Saya berasa amat teruja apabila empat pereka tari terkenal bergabung dalam satu produksi memandangkan sebelum ini mereka bersaing antara satu sama lain. Mereka mempunyai keunikan tersendiri,’’ katanya ketika ditemui.

Kejayaan pelajar-pelajar UiTM tersebut mengadakan pementasan TEMU 2019 turut mendapat pujian Pengarah Persembahan TEMU 2019 yang juga Pereka Tari Nyala Dance Theatre, Khairulazhar Mohtar.

Beliau bangga dengan kejayaan program itu yang dianggapnya mendapat sambutan di luar jangkaan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar UiTM berkenaan, Khairulazhar berkata, tanpa kesungguhan mereka impian keempat-empat kumpulan tarian itu untuk mengadakan persembahan bersama tidak mungkin tercapai.

“Saya berpendapat ini permulaan yang baik kepada Flexr.Event untuk belajar mengenai produksi seni sebelum melangkah ke alam kerjaya,’’ katanya.

Sementara itu salah seorang penonton, Ashraf Suhaimi berkata, TEMU 2019 adalah acara yang sangat baik kerana berupaya memperkenalkan tarian tradisional Melayu kepada anak-anak muda.

“Bukan mudah untuk anak-anak muda zaman sekarang untuk mengenali tarian tradisional Melayu seperti joget, inang, tarian piring dan sebagainya. Program ini sangat menarik bagi generasi akan datang,’’ katanya.