Program tiga hari anjuran High Achievers’ Club UiTM Kampus Raub dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Benta itu bertujuan memberi peluang kepada penuntut berkenaan menimba pengalaman tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.

Penasihat High Achievers’ Club, Ainatul Fathiyah Abdul Rahim berkata, kegiatan itu dapat menyemai nilai keprihatinan dan sebagai platform bagi mengeratkan hubungan antara penuntut UiTM dengan penduduk Benta.

“Program ini dapat memberi pendedahan dan penghayatan kepada penuntut tentang tanggungjawab sosial, kemanusiaan serta kepemimpinan terhadap masyarakat.

“Saya yakin penuntut UiTM kampus ini dapat meningkatkan kemahiran jaringan komunikasi dan mengenali sosioekonomi penduduk di sini setelah tinggal bersama keluarga angkat masing-masing,” katanya selepas majlis penutup program itu.

Yang turut hadir Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Kampus Raub, Muhammad Azmir Abd Razak; Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajarnya, Mohd. Amirul Asyraf Abd. Aziz dan Penasihat Gerakan Belia 4B Benta, Azhari Rose.

Ainatul Fathiyah yang juga Pensyarah Fakulti Pentadbiran Awam dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Raub berkata, pada masa sama, program berkenaan secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada peserta untuk mengenali cara hidup dan aspek kesenian masyarakat Melayu desa di kawasan Benta.

“Antara aktiviti yang dilakukan ialah gotong-royong menceriakan kawasan tempat tinggal, sukaneka, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, motivasi pelajar, majlis bacaan Yasin dan tahlil, lawatan ke bengkel membuat gula kabung dan senamrobik,” katanya.