Program itu melibatkan 16­ pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 42 (Korea), 21 (Indonesia) dan masing-masing empat (China, Singapura dan Taiwan).

Penyelaras program, Hilmi Sanusi berkata, penganjuran program bermula Jumaat lalu dan berakhir Rabu ini bertujuan mempromosi kerjasama antara pelajar dari pelbagai negara dan membentuk kemahiran sosial dalam kalangan peserta.

“Kita berjaya mendedahkan pelajar untuk bekerjasama dalam pasukan yang berbeza latar belakang agama, negara, budaya dan bahasa. Di samping itu, mewujudkan minat peserta dalam bidang kejuruteraan.

“Kem reka bentuk ini bertujuan melahirkan pemikiran kreatif dan reka bentuk inovatif melalui perkongsian ilmu dan pengalaman,” katanya dalam Program i-Caps dan d-Camp di Homestay Pachitan di sini.

Program yang diadakan atas usaha Prof. Dong-Won Kim dari Universiti Kebangsaan Chunbuk, Korea itu dirasmikan Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri King Lim Chin Fui.

Hilmi memberitahu, sepanjang program itu, peserta turut menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan bergotong-royong menanam pokok di Dataran Pachitan dan mengecat tandas awam.

Ujarnya, mereka juga berpeluang mencuba permainan tradi­sional iaitu gasing, sepak raga bulatan serta melukis corak batik .

Selain itu, peserta berkesempatan melihat majlis berendoi dan cukur jambul.