HELO KAMPUS: Apakah usaha transformasi universiti dalam melahirkan siswazah yang berjaya dalam sektor automotif negara?

Omar: Usaha universiti ialah melaksana program pembangunan dalam kalangan siswazah melalui aspek teknikal dan kemahiran dalam bidang automotif. Pada masa sama, universiti memperkasa kedua-dua bidang itu melalui peningkatan nilai tambah kepada program pengajian baharu termasuk jaringan kerjasama akademik pada peringkat antarabangsa.

Apakah perkembangan teknologi dan kejuruteraan automotif dunia seiring dengan keperluan pembangunan universiti?

Teknologi industri automotif dunia hari ini berkembang dengan begitu pesat, universiti memerlukan keperluan yang seiring dengan perkembangan teknologi terkini. Hari ini DRB-Hicom U menjalinkan kerjasama dengan pemain-pemain industri dan rakan-rakan strategik dari beberapa syarikat ternama China. Kerjasama itu selari dengan arah aliran teknologi masa depan automotif baharu yang melibatkan perkongsian jaringan akademik dan kepakaran teknologi dalam bidang kajian dan penyelidikan automotif.

Kerjasama itu turut melibatkan kemampuan dari segi pembangunan prototaip kenderaan, mesin baharu serta perkakasan dan perisian komputer yang berteknologi tinggi yang dapat digunakan pelajar untuk latihan amali.Kemudahan teknologi automotif yang sedia ada dipertingkat melalui jaringan kerjasama dengan kepakaran tempatan dan antarabangsa. Usaha itu bagi memastikan keupayaan pembangunan modal insan dalam kalangan siswazah DRB-Hicom U dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selain meningkatkan keupayaan siswazah dalam pembangunan teknologi automotif serta kualiti mutu pembelajaran pelajar yang menjadikan mereka lebih kompetitif. Kerjasama itu turut melibatkan kerjasama melalui program dwi penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan kualiti dan modal insan, ujian serta kaedah pembuatan terbaik bagi teknologi subsistem automotif antarabangsa.

Bagaimana DRB-Hicom U dapat menyediakan tenaga kerja mahir bagi memacu pertumbuhan industri automotif negara?

DRB-Hicom U akan memainkan peranan yang penting bagi memacu transformasi industri automotif ke tahap yang lebih berdaya saing melalui penyediaan siswazah mahir yang khusus seperti dalam pengeluaran automasi dengan kepelbagaian kemahiran yang berkaitan teknologi pembuatan automotif selain memperkenal langkah-langkah dasar pendidikan baharu universiti yang selari dengan perubahan teknologi dan perkembangan terkini industri.

Universiti terus memainkan peranan dan memberi tumpuan dalam memperkasa bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) umpamanya yang menyasarkan pelajar DRB-Hicom U celik dan pintar dalam bidang kejuruteraan ICT sebagai persediaan mendepani cabaran era Revolusi Industri 4.0.

Persediaan itu penting bagi meningkatkan jaringan dalam ICT serta mendidik pelajar DRB-Hicom U yang bakal menjadi siswazah glokal yang mampu berdaya saing pada abad ke-21.

DRB-Hicom U terletak di bandar Pekan, Pahang menjadi pelengkap sebagai institusi pendidikan yang menyediakan tenaga mahir dalam bidang automotif dalam dan luar negara. Apakah perancangan DRB-Hicom U dalam tempoh lima tahun?

DRB-Hicom U yang terletak di Pekan Pahang ini mempunyai potensi yang amat tinggi untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan automotif ASEAN dan memandangkan universiti ini juga yang pertama di ASEAN yang menawarkan sebanyak 51 program pengajian pada peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang automotif pengajian mekanikal, perniagaan dan pengurusan.

Dengan penawaran kursus yang fleksibel itu, DRB-Hicom U yakin bidang automotif mampu dikembangkan dan melihat Pekan mempunyai kekuatan dalam bidang industri pembuatan dan automotif yang sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan automotif ASEAN.

Bermula pada tahun ini hingga 2022, DRB-Hicom U menyasarkan misi untuk menjadi universiti hab pendidikan automotif ASEAN dan antarabangsa.

Usaha itu telah dijayakan melalui jalinan kerjasama pintar yang bersepadu dari beberapa negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia dan Brunei termasuk beberapa negara ASEAN lain yang menyokong usaha dalam meletakkan DRB-Hicom U sebagai universiti pertama dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang automotif.

Kerjasama pintar itu juga meletakkan universiti ini seiring meletakkan bandar Pekan sebagai hab pendidikan automotif Malaysia yang begitu sinonim dengan persekitaran kemudahan pembelajaran komuniti yang lebih moden, kondusif, efisien dan fleksibel hasil daripada lonjakan aspirasi pembangunan yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang berjaya memacu daerah ini dengan lebih sistematik dan berdaya maju.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan industri mikro seperti kemudahan prasarana komuniti yang disediakan kerajaan setaraf antarabangsa.

Malah pembangunan Pekan dan kewujudan DRB-Hicom U mampu merangsang kejayaan ekonomi setempat dalam pembangunan industri sokongan kepada sektor pelancongan dan industri pembuatan serta perkilangan sehingga meletakkan Pekan antara bandar maju yang lengkap dengan prasarana jalan raya, industri serta komunikasi dan bina insan yang baik.

Apakah harapan DRB-Hicom U terhadap bidang automotif ini di Pekan dalam tempoh lima tahun yang akan datang?

Pendidikan ialah agenda utama DRB-Hicom U dan automotif adalah kerjaya pilihan yang mahu DRB-Hicom U terap kepada generasi muda Malaysia.

Universiti yakin bidang automotif mampu membantu usaha kerajaan untuk mengubah wajah generasi baharu Pekan dan Malaysia dalam masa lima tahun mendatang kerana siswazah yang berilmu berupaya menghadapi apa jua rintangan dan mengimpikan masyarakat Malaysia yang progresif dan berjaya.

Impian ini mampu dicapai dan harapan DRB-Hicom U agar masyarakat daerah Pekan keseluruhannya dapat bersama untuk meneruskan cita-cita kerajaan dan DRB-Hicom U dalam membangunkan Malaysia yang lebih cemerlang dan meletakkan Pekan sebagai hab pendidikan automotif ASEAN.

Bagaimana usaha DRB-Hicom U dalam membangunkan modal insan golongan muda Malaysia yang lebih inklusif, berdaya murni serta inovatif?

Dalam memastikan kelangsungan itu, DRB-Hicom U akan menjadi universiti automotif negara yang berdaya saing dalam menitikberatkan soal akademik yang melibatkan pembangunan modal yang insan terpilih.

DRB-Hicom U bermula pada tahun lalu dan mula menawarkan biasiswa pendidikan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian di universiti. Tahun ini DRB-Hicom U menawarkan biasiswa sebanyak RM2 juta kepada pelajar SPM yang layak bagi kemasukan bulan ini untuk mengikuti pengajian program asasi kejuruteraan dan perniagaan. Tempoh pengajian itu adalah selama setahun yang dibiayai universiti.

Langkah pemberian biasiswa itu merupakan usaha universiti bagi menggalakkan ramai pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi di DRB-Hicom U. Kemasukan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan bilangan tenaga mahir automotif negara.