Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pasangan warga emas dapat ijazah OUM

RAZALI MOHD. NOOR dan Ramlah Daud menunjukkan Ijazah Sarjana Muda
RAZALI MOHD. NOOR dan Ramlah Daud menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam kepada anak-anak dan cucu mereka selepas Majlis Konvokesyen Ke-20 OUM Zon Utara di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 16 Mei – Biarpun pernah memiliki ijazah dalam bidang Sains Matematik dari Universiti Sains Malaysia (USM) namun Razali Mohd. Noor masih belum puas.

Ini kerana minatnya dan isteri, Ramlah Daud untuk mendalami bidang keagamaan tidak dapat diteruskan tanpa memiliki pendidikan formal dalam bidang itu.

Namun sebaik sahaja melihat tawaran yang dikeluarkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang membuka peluang pengajian kepada warga emas, Razali, 63, dan Ramlah, 62, tidak menoleh ke belakang lagi.

Akhirnya selepas empat tahun mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Islam di OUM, pasangan kepada empat anak itu menerima ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Ke-20 OUM Zon Utara, di sini hari ini.

Razali berkata, mengambil semangat daripada anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti, beliau dan isteri tekad untuk menyambung pengajian biarpun terpaksa bersaing dengan rakan-rakan sekuliah yang jauh lebih muda.

“Sokongan dan galakan anak-anak mendorong kami mengikuti pengajian di OUM selama empat tahun dan sama-sama mengulang kaji pelajaran.

“Tambahan pula OUM menawarkan diskaun khas untuk warga emas melanjutkan pelajaran untuk bayaran yuran pengajian,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak hari ini.

Pasangan suami isteri itu me­nerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam yang disampaikan Naib Presiden (Perancangan dan Strategi) OUM, Prof. Ramli Bahroom.

Yang turut hadir Pengarah Pusat Pengajian OUM Seberang Jaya, Nooraini Youp.

Sementara itu, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu, Nur Zarina Toh Abdullah, 51, berkata, kejayaannya menerima Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan hari ini akan dituruti oleh tiga anaknya yang menyambung pelajaran di OUM.

Katanya, tiga anaknya, Nur Amyra Syakira Mohd. Zailan, 27; Muhammad Amyrul Syazwan, 24, dan Nur Areefah Syahmimi, 21, kini mengikuti pengajian di OUM.

“Saya berharap dengan ijazah sarjana yang saya terima hari ini turut menjadi galakan kepada anak-anak untuk tidak berhenti belajar biarpun memiliki karier sendiri.

“Biarpun mereka memiliki perniagaan sendiri namun setiap hujung minggu, keutamaan akan diberikan untuk belajar dan paling penting dapat seimbangkan antara kerjaya, keluarga dan pelajaran,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain