Pengarahnya, Abdul Razak Sadli berkata, projek di tapak seluas 50 hektar itu bakal melonjakkan perkembangan institusi itu melalui peningkatan peranannya dalam membangunkan generasi muda dan sumbangannya kepada masyarakat.

Menurutnya, kampus baharu PHT yang terletak berhampiran salah satu pusat pelancongan ikonik negara akan dipacu sebagai pusat teknologi pelancongan terbaik bagi menbekalkan tenaga kerja dan usahawan berkualiti dalam industri berkenaan.

Katanya, PHT turut merancang menambah pengkhususan bagi Diploma Pengurusan Pelanco­ngan yang ditawarkan ketika ini iaitu Pengurusan Resort diikuti Taman dan Rekreasi.

“PHT akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 20 unit chalet, dapur untuk latihan memasak, ruang untuk sauna dan spa di samping kolam renang, flying fox dan penyediaan laluan trek hutan, malah kita turut me­rancang untuk membeli all-terrain vehicle (ATV).

“Apabila kampus itu siap kelak, kita mampu mengambil sehingga 180 pelajar bagi setiap sesi kemasukan berbanding hanya 60 orang pada masa ini,” katanya selepas majlis Konvokesyen Ke-5 PHT, di sini baru-baru ini.

Seramai 129 graduan PHT menerima diploma masing-masing dengan 60 daripadanya merupakan graduan Pelancongan dan Hospitaliti manakala 69 graduan Jabatan Perdagangan bagi sesi Disember 2015 dan Jun 2016.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Akademik PHT, Abdullah Mamat dan Timbalan Pe­ngarah Sokongan Akademik, Abu Bakar Zakaria.

Terdahulu, Abd. Razak dalam ucapannya berkata, kadar kebolehpasaran graduan PHT pada masa ini adalah sebanyak 97.5 peratus dan kejayaan itu diyakini dapat menjadi pemangkin ke arah menarik penglibatan pelajar sekali gus melahirkan lebih ramai graduan cemerlang dan berkualiti.

Dalam majlis itu, graduan Pe­ngurusan Pelancongan, Habibah Abdul Ghani dipilih sebagai pe­nerima Anugerah Khas Pengarah manakala Mastura Afiqa Rahimi mene­rima Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi Disember 2015 dan bagi sesi Jun 2016 pula diraih oleh Mohamad Amirul Ikram Mat Azan dan Raihana Ibrahim.