Namun kejayaan membanggakan yang dicapai oleh gadis cekal ini atas kecemerlangan akademik dan kokurikulum tidak dapat dikongsi bersama ayah dan ibunya kerana kedua-dua mereka telah meninggal dunia.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu mencatatkan sejarah peribadi dengan menerima Anugerah Pengarah Politeknik, Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan serta Anugerah Projek Terbaik.

Nur Saliza dari Kampung Kubang Ikan, Manir di sini berkata, kejayaannya dirangsang oleh pesanan arwah ibu dan bapanya yang sentiasa mengingatkan agar jangan mengabaikan pelajaran sebagai bekalan masa depan.

“Emak meninggal tujuh tahun lalu selepas saya habis pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ayah pula pada pada Disember tahun lepas.

“Oleh kerana masih bersedih dengan pemergian emak, saya menolak tawaran ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, apatah lagi tidak mahu berjauhan dengan ayah yang ketika itu menghidap penyakit buah pinggang.

“Jadi PKT merupakan pilihan terbaik kerana dekat dengan rumah. Walaupun mereka tidak ada untuk berkongsi kegembiraan ini, tetapi saya harap dapat merealisasikan impian mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Nur Saliza merupakan antara graduan PKT yang menerima diploma dalam majlis konvoke­syen yang disempurnakan peras­miannya oleh Naib Pengerusi Eksekutif Jasa Merin (Malaysia) Sdn. Bhd., Abdul Rahman Ali.

Yang hadir sama Ketua Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Saifuddin Kumar Abdullah; Pengarah PKT, Radiah Che Su dan Timbalan Pengarah Akademik PKT, Mohd. Rusmi Abdul Ghani.

Anugerah Ketua Jabatan turut diterima oleh Mohd. Arib Muiz Aziz, Wan Nursufiah Wan Hassan, Nurul Zaitulqiara Atiqa Zainal, Sharifah Aimi Amalina Syed Mohd. Zailani.

Tahun ini, buat julung-julung kalinya Anugerah Khas Industri diperkenalkan dan penerimanya termasuklah Muhammad Salahuddin Said bagi kategori sukan.

Juga Mohamad Syafiq Amirul Rasid (kebudayaan & warisan); Ahmad Hafizi Abas (keusahawanan); Muhammad Zakie Mohamad Radzwan (kepemimpinan) dan Muhammad Azif Hafizi Mufti (kesukarelawanan).