Program khidmat komuniti itu diadakan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2017 dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada golo­ngan kanak-kanak berkaitan aspek kese­daran sewaktu kecemasan.

Seramai 583 pelajar Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial (SESS) MSU terlibat dalam program itu selain penyertaan 2,546 kanak-kanak apabila ia dijalankan serentak di 75 taska di sekitar Selangor.

Antara taska yang terlibat adalah Taska Kasih Khadeeja, Taska Taman Kasih Educare, Taska Permata Ibnu Khaldun dan Taskan Al Azhim. Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persa­tuan Taska Selangor dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut hadir pada majlis me­raikan kejayaan berkenaan adalah Naib Presiden Kanan, Komunikasi Strategik dan Hubungan Global MSU, Datuk Rosli Yusof, Dekan SESS, Prof. Datin Dr. Norhisham Mohamad, Ketua Pegawai Ope­rasi MBR, Christopher Wong Hong Wai, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dan Persatuan Taska Negeri Se­langor, para penaja serta pelajar-pelajar MSU.

Program The Largest Simultaneous Participation in a Fire Drill Event adalah sebahagian daripada pengisian aktiviti yang dijalankan melalui Festival Kanak-Kanak MSU 2017 dan merupakan satu platform bagi membolehkan warga kampus berkongsi ilmu pengetahuan dengan komuniti khususnya golongan kanak-kanak.

Aktiviti lain yang turut diadakan sempena Festival Kanak-Kanak MSU 2017 itu ialah forum mengenai gajet digital dan kanak-kanak, pertandingan Junior MasterChef, pertunjukkan fesyen kanak-kanak serta pameran daripada pelbagai taska.

Penganjuran pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan diri di MSU adalah bertujuan memperkasakan pengalaman pembela­jaran dalam kalangan pelajarnya dan seterusnya melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya saing tinggi, berketrampilan serta holistik.

Ia juga bertujuan menseimbangkan antara akti­viti akademik dan kokurikulum dan secara tidak langsung mem­bantu usa­ha melahirkan graduan berkualiti serta menyumbang kepada pemba­ngunan komuniti.