Sama ada set lengkap nasi lemak atau hidangan nasi putih yang boleh ditambah tanpa had dengan ketulan ayam goreng dan kuah gulai lazat berserta minuman teh 'o' ais itulah yang dinikmati para para pelajar de­ngan harga cukup murah di kafe yang beroperasi di kolej itu sejak awal tahun ini.

Penyelia MPA Cafe yang juga warden asrama kolej, Hamsia Kamaruddin berkata, selain menawarkan harga berbeza tetapi masih berpatutan untuk kakitangan dan pensyarah, kafe tersebut tidak mengenakan caj sesenpun kepada 20 pelajarnya di bawah Program Inisiatif Makanan Percuma setiap kali menjamu selera di situ.

“Kafe ini dibuka bukan untuk mengejar keuntungan sebaliknya bagi memastikan tiada lagi pelajar yang terpaksa berlapar, sebelum ini kami pernah menghantar pelajar ke hospital yang rupa-rupanya sakit kerana tidak makan.

“Nama 'MPA Cafe' sebenarnya ringkasan daripada Majlis Perwakilan Asrama yang merupakan tulang belakang operasi kafe,” katanya ketika ditemui di kolej itu di sini baru-baru ini.

Hamsia berkata, modal permulaan kira-kira RM3,000 dihimpun daripada duit tabungan asrama, pengurusan kolej, para pensyarah, dermawan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, sebanyak 25 kilogram beras dan 40 kilogram ayam dimasak setiap hari dan setakat ini jualan harian yang dicatatkan adalah antara RM500 sehingga RM600.

Sementara itu, Presiden MPA KPTM Kota Bharu, Muhammad Kamil Naim Yusni, 20, berkata, seramai 33 pelajar terlibat membantu dalam operasi kafe tersebut dan melakukan pelbagai kerja termasuk mencuci lantai.

“Kafe ini beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan hanya menggaji dua tukang masak manakala pelajar pula upahnya adalah makan percuma semasa bertugas.

“Sejak kafe ini dibuka, rata-ratanya pelajar dapat mengurangkan belanja makan harian daripada RM10 kepada kurang RM5 sehari,” katanya.

Seorang pelajar dari Alor Setar, Kedah, Muhammad Firdaus Mohd Soffian, 19, yang mengikuti program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di kolej itu pula berkata, dia pada awalnya tidak percaya semasa menerima panggilan telefon bahawa namanya tersenarai antara pelajar kurang berkemampuan yang mendapat bantuan makanan percuma.

“Saya terkejut tetapi selepas pensyarah yang menjadi mentor pula memberitahu perkara sama barulah saya yakin, saya amat berterima kasih kerana membantu saya menjimatkan wang yang dihantar ibu bapa untuk urusan belajar sahaja, ayah saya be­kerja sebagai tukang perabot dan menghantar wang saku sekadar mampu sahaja,” katanya.