Mahavithia yang buta sebelah mata sejak lahir dan kemudiannya mengalami kecacatan kedua-dua belah mata ketika berumur 11 tahun tekad meneruskan minatnya itu dalam bidang sastera dengan menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera di USM.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu memulakan pendidikan pada usia 11 tahun dalam tahun empat di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan) di Bukit Mertajam di sini sebelum menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Kolej Tinggi Ipoh, Perak.

“Saya bercita-cita menjadi seorang pendidik. Walaupun tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan, saya berazam untuk meneruskan impian itu selepas tamat belajar di sini kelak,” katanya.

Mahavithia merupakan antara lebih 2,800 penuntut baharu yang memulakan pengajian di Kampus Induk USM bagi sidang akademik 2017/2018 di sini ming­gu lalu.

Dalam pada itu, majlis sambutan penuntut baharu USM turut dimeriahkan dengan program yang membangkitkan semangat patriotisme yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

Dalam majlis itu, penuntut baharu dengan pelbagai formasi menarik menyanyikan lagu patriotik sempena sambutan kemerdekaan.

Pengalaman mengujakan itu turut mendapat perhatian lebih 150 pelajar antarabangsa yang turut serta bagi mendengar dan mengikuti amanat Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.