Tidak dinafikan walaupun kerajaan menyediakan bebe­rapa inisiatif untuk membantu anak-anak meneruskan pe­ngajian mereka ke peringkat lebih tinggi, namun ibu bapa juga perlu memainkan pe­ranan teruta­ma menyediakan simpanan demi ma­sa depan pendidikan anak.

Instrumen terbaik adalah menyediakan simpanan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i dan SSPN-i Plus) yang diperkenalkan oleh Perbada-nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Skim tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan ibu bapa untuk membiayai perbelanjaan anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi malah menerima manfaat seperti perlindungan takaful.

Sempena penyampaian ha­diah Cabutan Wow! SSPN-i Plus 2016/2017 yang berlangsung pada Julai lalu, lebih 300 hadiah bernilai RM1.5 juta disediakan untuk pendeposit SSPN-i Plus.

Pemenang pertama, Wan Asron Wan Jusoh, 42, yang bekerja di sektor swasta ber­kata, menjadi tanggungja­wab­nya sebagai bapa untuk menyediakan kesenangan ma­sa depan untuk pendidikan anak-anak.

Katanya, melabur melalui SSPN-i Plus mempunyai manfaat jangka panjang selain mencerahkan lagi masa depan.

“Kata orang, sikit-sikit, la­ma-lama jadi bukit. Begitu juga dengan simpanan kita. Makin lama kita menyimpan, makin banyak manfaat yang kita dapat. Kita harus bijak serta perlu mempunyai pe­rancangan masa depan demi anak-anak kita.

“Yang pentingnya anak-a­nak harus mempunyai simpanan agar kehidupan mereka tidak kelam-kabut di kemudian hari, seterusnya tidak terikat dengan bebanan hutang selepas mereka tamat pengajian,” kata­nya.

Beliau yang membawa pulang sebuah kereta Proton Perdana 2.4L menambah berkata bahawa SSPN-i Plus merupakan produk simpanan patuh syariah untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendi­dikan tinggi.

“Skim simpanan pendidikan ini tidak perlu diragui memandangkan ia dijamin oleh kerajaan dan pastinya dapat mengelak daripada tertipu dan kerana itu saya dan isteri membuka akaun untuk lima anak.

“Saya berharap melalui skim ini dapat mengurangkan bebanan hutang anak-anak saya yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” jelasnya.

Tambahnya, keistimewa­an yang ditawarkan terma­suk mendapat pelepasan tak­­­si­ran cukai pendapatan sehing­ga RM6,000 setahun, manakala SSPN-i Plus memberi pelepa­san taksiran cukai sehingga RM12,000 setahun, hasil gabungan akaun simpanan dan takaful.

Sementara pemenang ke­dua, Tan Teik Guan, 43, pula berkata, pendeposit SSPN-i mahupun SSPN-i Plus akan diberikan dividen yang kompetitif, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah.

Jelasnya, skim tersebut meng­galakkan ibu bapa atau pendeposit membuat tabu­ngan dalam akaun SSPN-i Plus yang menyediakan pelbagai manfaat untuk jaminan masa depan anak-anak.

“Ibu bapa bukan sahaja menabung, malah dalam masa sama berpeluang memenangi hadiah yang lumayan. Lihat sahaja saya, telah mula menyim­pan untuk dua orang anak saya dan kini berpeluang membawa pulang hadiah,” ujarnya.

Beliau yang bekerja sebagai seorang doktor di Bintulu, Sa­rawak membawa pulang sebuah ke­reta Toyota Vios TRD Sportivo.

Ayah kepada dua orang anak ini menasihati ibu bapa agar segera membuka aka­un atau membuat penambahan simpanan untuk anak-anak supaya turut menerima manfaat seperti dirinya.

Tambahan pula, bermula 11 Julai lalu, PTPTN telah melancarkan cabutan hadiah yang baharu iaitu Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN yang menawarkan ganjaran tunai lebih RM500,000 kepada lebih 2,500 pemenang, katanya.

“Saya menyeru ibu bapa untuk membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus kerana anda juga berpeluang memenangi hadiah sama seperti saya,” katanya.