Ciptaan dan inovasi yang dihasilkan menerusi projek tahun akhir mereka ketika mengikuti program Diploma Multimedia di UniKL MIIT itu akhirnya membawa tuah kepada Siti Sarah Shamsul Anuar dan Norariffuddin Abd. Rahman apabila berjaya meraih pingat emas di Asian Youth Innovation Awards 2017 untuk kategori belia.

Lebih membanggakan projek yang diberi nama Salt Hero: Learning Chemistry Made Fun itu telah dinobatkan sebagai projek terbaik dengan menerima The Very Best Award untuk kategori yang sama.

Pertandingan yang diadakan sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2017 adalah acara tahunan anjuran Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS) dan PROTEMP Exhibition and Conferences Sdn. Bhd. itu turut di­sertai negara luar seperti Croatia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Taiwan dan Vietnam. Penyertaan terdiri daripada universiti atau politeknik tempatan dan antarabangsa, pereka profesional serta pihak sekolah. Ekspo yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 16 hingga 18 Februari lalu itu juga menjadi platform kepada para penggiat industri dan mahasiswa untuk mengetengahkan dan memasarkan produk inovasi mereka.

Menurut Siti Sarah, topik garam dalam mata pelajaran kimia dipilih kerana ia satu-satunya topik dalam subjek tersebut yang memerlukan lebih banyak penghafalan khususnya dari segi warna yang dihasilkan melalui campuran kimia.

“Pelajar selalunya menghadapi masalah untuk menghafal semua hasil yang tercipta kerana terdapat lebih 100 warna perlu dihafal hasil kombinasi bahan-bahan kimia tersebut.

“Pembelajaran melalui buku teks pula agak membosankan, malah pelajar tidak boleh membayangkan warna sebenar yang terhasil.

“Jadi, untuk memudahkan dan menyeronokkan proses pembelajaran mata pelajaran kimia, kami mencipta satu aplikasi khusus tentang topik garam,” kata Siti Sarah yang me­nyambung pengajiannya di UniKL MIIT dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian.

Siti Sarah menjelaskan bahawa aplikasi itu mempunyai tiga bahagian iaitu nota, kuiz dan yang paling menarik adalah makmal maya bagi memberi peluang kepada pelajar mencuba sendiri campuran garam atau kimia untuk melihat sendiri warna yang bakal terhasil.

Katanya, makmal maya yang dicipta berbentuk animasi itu adalah sesuatu yang menyeronokkan dan pastinya dapat menarik minat pelajar untuk mencuba, sekali gus membantu mereka untuk menghafal warna-warna yang terhasil dengan lebih berkesan.

Norariffuddin Abd. Rahman pula berkata, projek yang mengambil masa empat bulan untuk dibangunkan itu boleh digunakan secara menyeluruh oleh pelajar bermula pada Mei ini apabila ia boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

“Kami sedang menambah baik aplikasi itu sebelum ia dimasukkan ke dalam Google Play Store. Buat masa ini, pelajar boleh memuat turun aplikasi itu secara percuma.

“Jika aplikasi itu berjaya membantu para pelajar, kami bercadang untuk membangunkan satu lagi aplikasi untuk mata pelajaran biologi pula,” katanya.

Norariffuddin berkata, sebelum ia diketengahkan kepada umum, mereka terlebih dahulu telah mendapatkan maklum balas daripada pelajar khusus mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semua pelajar yang telah menguji aplikasi itu berpuas hati dengan projek tersebut.

Selain memenangi anugerah di Asian Youth Innovation Awards 2017, projek Salt Hero: Learning Chemistry Made Fun juga telah memenangi tempat pertama dalam Anugerah Inovasi MARA 2016 untuk kategori produk, pi­ngat emas untuk Undergraduate Research Competition & Exhibition 2015 (URCE) anjuran UniKL dan juga dinobatkan sebagai projek tahun akhir terbaik bagi Diploma Multimedia pada 2015.

Selain berjaya mencipta inovasi terkini, kedua-dua pelajar UniKL MIIT itu juga cemerlang dalam akademik dan aktif dalam kokurikulum. Siti Sarah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor dan Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen UniKL ke-13 tahun lalu, manakala Nor­a­riffuddin aktif dalam kokurikulum di dalam kampus dengan menjadi mentor untuk pelajar-pelajar antarabangsa.