Program Khidmat Komuniti anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK; Jabatan Penerangan negeri dan Muafakat Komuniti Malaysia Kampung Kuau/Keluat adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua universiti tersebut, di Padang Indonesia sebelum ini.

Pelancaran program tersebut disem­purnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar.

Pengarah UCTC UMK, Prof. Madya Dr. Mohd. Anizu Mohd. Nor berkata, khimdat komuniti diadakan bagi memberi pendedahan kepada semua mahasiswa yang terlibat terutamanya dari UA tentang cara hidup; kegiatan ekonomi; kebudayaan dan sosial masyarakat di luar bandar di negeri ini.

Menurutnya, aktiviti yang diadakan bersama secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara mahasiswa serta pensyarah UMK dan UA yang sekaligus mewujudkan silaturahim dengan masyarakat di luar bandar.

“Selain itu, program ini juga memberi peluang untuk me­latih mahasiswa kedua-dua universiti untuk bertindak sebagai ejen sukarelawan bagi membantu masyarakat sekeliling dalam pelbagai aspek bantuan.

“Program ini juga memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa kedua-dua universiti untuk mene­roka kehidupan masyarakat bersama keluarga angkat di kawasan luar bandar yang menjalankan aktiviti ekonomi yang bergantung kepada sumber pertanian,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Mohd Anizu berkata, antara program dan aktiviti yang dijalankan adalah program gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Padang Badak; kem motivasi pelajar Kampung Kuau, sukan dan riadah serta persembahan malam kebudayaan dengan acara istimewa, tiupan serunai oleh penduduk kampung itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan FKP Dr. Mohd. Zulkifli Muhammad berkata, program di Kampung Kuau merupakan satu program di bawah UCTC yang menjadi sebahagian daripada program 'Mobiliti InBound' kedua-dua universiti yang berlangsung selama 21 hari bagi memenuhi keperluan Kuliah Kerja Nyata (KKN), UA.

“Para penuntut UA terlibat dalam program ini terdiri daripada pelbagai bidang pengajian seperti perubatan, kemanusiaan, ekonomi, sosial dan politik, pertanian, kejuruteraan dan matematik serta sains semula jadi.

“Sepanjang tempoh itu, pelajar terbabit dikehendaki melaksanakan program di Kampung Kuau dengan beberapa aktiviti khidmat komuniti di beberapa tempat di Kelantan.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah program khidmat komuniti di Pusat Asuhan Harian Kanak-Kanak Spastik di Pengkalan Chepa selama tiga hari dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta sukaneka melibatkan kanak-kanak spastik,” katanya.