Golongan intelektual ini memainkan peranan penting dalam membawa pembaharuan berteraskan matlamat membina sebuah negara yang bertamadun tinggi dan mempunyai sahsiah serta akhlak yang terpuji.

Menurut Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Azam Asri, matlamat ke arah menjamin kepimpinan dan ketamadunan serta peradaban negara pada masa depan akan tercapai sekiranya masyarakat lebih-lebih lagi golongan mahasiswa dapat mewujudkan budaya ilmu ketamadunan yang terpimpin di Malaysia.

“Turki, Jepun, China dan Korea Selatan membina negara mereka berasaskan falsafah sendiri tanpa merujuk kepada tamadun negara lain.

“Tanggungjawab dan aspirasi yang besar itu terletak kepada peranan mahasiswa dan atas faktor itu Pembina berharap mahasiswa perlu menerapkan tahap keintelektualan serta berusaha memperkayakan kepelbagaian ilmu dalam diri mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Himpunan Mahasiswa Persatuan Belia Islam Nasional 4.0 2019 (Himmah) bertemakan Perkasa Peranan Mahasiswa yang diadakan di Kem Permata Resort, Alor Gajah Melaka, baru-baru ini.

Sepanjang Himmah 2019 sebanyak 13 resolusi dan pandangan dicadangkan daripada 1,000 mahasiswa yang hadir.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd. Amin.

Pada majlis itu, Dr. Mohd. Cairul turut melancarkan Buku Kanvas Mahasiswa 2030 yang menghimpunkan kertas kerja yang menjelaskan lima gagasan baharu Pembina sebagai cadangan model gerakan mahasiswa menjelang 2030.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Kecemerlangan Ummah (Pacu), Asral Widad Ahmad Asnawi dan Pengarah Himmah, Dr. Mohammad Aiman Hazim Zamri.

Muhammad Azam berkata, bagi memperkasakan budaya ketamadunan bangsa, mahasiswa serta pihak universiti harus menyediakan satu suasana yang membudayakan ilmu di kampus dengan menggalakkan pembacaan dalam kalangan pelajar serta menghargai kepentingan ketamadunan bangsa bagi meningkatkan kemahiran kognitif 
mahasiswa.

“Ini diharap dapat menggarap idea dalam membuat keputusan yang konkrit dalam kehidupan seharian mahasiswa yang merupakan pemimpin masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Dr. Mohd Cairul dalam ucapan perasmiannya berkata, peranan mahasiswa adalah cukup penting untuk kerajaan memberikan satu tumpuan dan fokus yang cukup tinggi terhadap perkembangan jati diri dan daya saing mereka.

“Saya menyokong penuh segala usaha dan program berimpak tinggi ini bagi pembangunan mahasiswa sebagai pemimpin dan tamadun masa depan negara” katanya.