Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, sejak penubuhannya, agensi itu telah melahirkan lebih sejuta usahawan dan sebanyak 60,000 orang lagi usahawan semasa.

Katanya, sebanyak 7,000 kedai milik MARA juga kini disewa oleh usahawan di seluruh negara.

“Untuk menjadi negara maju, kita perlu mewujudkan negara yang berteraskan masyarakat yang beriorentasi keusahawanan.

“Sebab itu kita telah tanamkan dalam diri pelajar lepasan MARA agar jangan makan gaji. Kita mahu mereka menjadi usahawan. Walaupun mereka keluar sebagai golongan profesional tetapi pada akhirnya mereka menjadi usahawan,” katanya.

Menurut beliau, MARA sememangnya menggalakkan aktiviti keusahawanan malah agensi itu menjadi penyumbang terbesar modal insan dalam bidang berasaskan teknikal dan keusahawanan.

Katanya, terdapat pelbagai program dirangka untuk lepasan IPMa bagi mencapai tujuan tersebut.

“Walaupun dalam bidang profesional, MARA berharap para pelajar IPMa mempunyai keinginan dan usaha untuk mempunyai perniagaan sendiri.

“Jika menjadi seorang doktor, maka kita mahukan mereka menjadi seorang doktor yang mempunyai jaringan klinik sendiri. Sekiranya menjadi peguam, mereka menjadi peguam yang mempu­nyai firma guaman sendiri, begitu juga dalam bidang-bidang lain,” katanya.

Ibrahim berkata, penubuhan MRSM di kawasan luar bandar bukan sahaja melatih pelajar luar bandar khususnya golongan miskin dalam bidang sains dan teknologi malah mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan sekitarnya.

Katanya, ini selaras dengan dasar dan strategi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang memberi tumpuan terhadap pembangunan di kawasan berkenaan.

“Tumpuan kita adalah untuk membuka pusat pertumbuhan baharu di sesuatu kawasan. Contohnya MRSM Sultan Azlan Shah di Liman Kati, Kuala Kangsar yang pastinya akan menarik penduduk, sekali gus mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di kawasan itu.

“Ini adalah pendekatan yang dilaksanakan oleh kementerian, selain mewujudkan pertumbuhan ekonomi kita juga mahu memberikan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh, sekali gus melahirkan pelajar yang berfikiran terbuka dan mempunyai jati diri serta sayangkan bangsa dan negara,” ujar beliau.