TAJUL URUS MAT ZIN

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, satu syarat yang masih diusahakan Kuin adalah bilangan pelajar antarabangsa perlu mencapai 20 peratus.

“Daripada lima syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan Ting­gi, hanya satu masih belum dipenuhi. Pada masa ini, kita mempunyai enam peratus pelajar antarabangsa. Kita memerlukan kira-kira 300 pelajar antarabangsa bagi mencapai 20 peratus yang ditetapkan kementerian.

“Apabila syarat ini dipenuhi, dijangka awal Januari ini pihak pe­ngurusan Kuin akan memajukan permohonan pendaftaran universiti dengan mendaftarkan nama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishamas),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Md. Zuki Yusof (Pas-Kuala Ketil) mengenai status terkini Kuin berhubung permohonannya mendapatkan status universiti penuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tajul Urus berkata, Kuin melepasi empat daripada lima syarat iaitu kursus yang mengalami masalah pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dapat mengekalkan status akreditasi penuh dan tahap kebolehpasaran graduan mencapai 70 peratus.

“Selain itu, 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana dan 30 peratus daripada kos operasi ditempatkan untuk tujuan penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D),” katanya.

Bagi mencapai jumlah 20 peratus jumlah pelajar antarabangsa, Tajul Urus memberitahu, Kuin menjalankan beberapa langkah termasuklah meluluskan pakej penawaran istimewa dengan kadar diskaun 50 peratus yuran bagi sembilan program pasca-siswazah.

“Pakej penawaran istimewa itu hanya terbuka sehingga 300 pelajar antarabangsa. Kuin juga merancang strategi promosi ke Selatan Thailand dan Indonesia pada hujung Oktober lalu dan awal November ini dan me­nerima 115 pelajar dari Selatan Thailand serta 108 pelajar dari Indonesia bagi kursus peringkat sarjana dan doktor falsafah (PHD),” katanya.