Biarpun dunia semakin maju, ke­ganasan terhadap wanita masih lagi berlaku dan hangat diperkatakan dan lebih menyedihkan wujud juga unsur diskriminasi terhadap golongan hawa.

Lebih membimbangkan apabila diskriminasi itu turut membabitkan perlakuan jenayah berat seperti wanita dieksploitasi bagi tujuan pemerdaga­ngan manusia, sindiket penipuan dan dijadikan ‘keldai dadah’.

Atas kesedaran itu, KPJ Healthcare University College (KPJUC) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah mengadakan satu ceramah khas yang menyentuh tentang kedudukan wanita dalam Islam pada 13 Mei lalu di Nilai, Negeri Sembilan. Ceramah bertajuk ‘Martabat Wanita Menurut Islam’ itu telah dikupas oleh peserta program Pencetus Ummah musim keempat, PU Raihan Husni.

Ceramah yang diadakan bersempena kempen ‘Hentikan Ke­ganasan Terhadap Wanita’ dan anjuran KPJUC itu telah dihadiri oleh 40 orang ibu tunggal dibawah kendalian JPW.

Penganjuran ceramah yang diban­tu oleh para pelajar program Ijazah Sarjana Muda Strategik dan Komunikasi Korporat KPJUC itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran berkaitan usaha memperkasakan kedudukan wanita mengikut ajaran Islam.

Program tersebut juga dianjurkan untuk memper­kenalkan pelbagai program pem­belajaran ber­teraskan pe­ngurusan kesihatan dan perubatan di KPJUC kepada masyarakat.

Pada masa sama, KPJUC juga me­ngambil kesempatan menga­gihkan sum­bangan ambang Ra­madan kepada ibu-ibu tunggal dalam usaha institusi itu membentuk hubungan akrabnya de­ngan masyarakat setempat.

Ambang Ramadan adalah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan untuk membentuk masyarakat pe­nyayang, bersatu padu dan sentiasa dahagakan nilai-nilai murni sepanjang hayat.

Penganjuran program ceramah itu juga diharapkan dapat meri­ngankan beban para ibu tunggal dan memberi pendedahan kepada mereka tentang kemuliaan insan bergelar wanita pada pandangan Islam.

Majlis cramah itu dirasmikan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar. Hadir sama adalah Pengarah Eksekutif KPJUC, Datin Fauziah Jamaluddin.