Selain Mohamad Hishammudin bagi sesi Jun 2016 yang juga penerima anugerah peringkat jabatan, Anugerah Pengarah turut diberikan kepada Mohamad Hamizan Abdul Rahman (sesi Disember 2015) dari jabatan yang sama.

Lain-lain penerima anugerah atas kecemerlangan akademik dan kokurikulum mengikut sesi pengajian melibatkan empat jabatan pula ialah Nur Syahirah Hasan, Nur Nabilah Azhar, Nurul Najwa Akila Anuar, Muhamad Hafizi Ismail, Bunyamin Harun dan Marlidayusha Salleh.

Mereka merupakan antara seramai 1,001 graduan yang diraikan dalam majlis di kampus institusi itu yang disempurnakan perasmiannya oleh oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad.

Kamel menyempurnakan penyampaian diploma dalam sidang pertama manakala sidang kedua pula oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

PSMZA menawarkan sembilan program di peringkat diploma dan satu program pradiploma melibatkan empat jabatan induk iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Teknologi Maklumat & Komunikasi.

Kamel dalam ucapannya berkata, graduan lepasan politeknik seluruh negara menjadi pilihan majikan khususnya pemain industri kerana kemahiran mereka relevan untuk memenuhi keperluan semasa.

Menurut beliau, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menumpukan pembangunan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), PSMZA turut mengorak langkah ke hadapan dan menyumbang lebih ramai graduan berkemahiran.

“PSMZA mencatat kejayaan membanggakan apabila kadar kebolehpasaran graduannya mencecah 96.03 peratus tahun lalu, dan ia satu peningkatan besar berbanding 90.23 peratus sebelumnya,”ujarnya dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah PSMZA, Pauzi Ibrahim.

Beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan peranannya, dan menterjemahkan hasrat kerajaan, institusi itu telah mendapat pengiktirafan lima bintang prestasi pencapaian terbilang bagi KPI Politeknik 2016.